SKUAD lelaki beraksi cemerlang untuk menewaskan skuad dari Australia, 5-3. -FOTO Ihsan MAD
SKUAD lelaki beraksi cemerlang untuk menewaskan skuad dari Australia, 5-3. -FOTO Ihsan MAD
Oleh Affan Rostam


Kuala Lumpur: Hasrat skuad dodgeball lelaki negara untuk merampas kembali gelaran juara dunia akhirnya tercapai apabila mereka berjaya mengesahkan kejuaraan dalam Kejohanan Dodgeball Dunia 2022 di Kanada, semalam.

Pada perlawanan akhir yang berlangsung Pusat Sukan Komuniti Saville, Edmonton itu menyaksikan skuad negara beraksi cemerlang untuk menewaskan skuad dari Australia, 5-3 sekali gus meraih gelaran juara dunia ketiga mereka sejak 2017.

Presiden Persatuan Dodgeball Malaysia (MAD), Datuk V Radhakrishnan berkata, kejayaan diraih skuad dodgeball lelaki itu adalah hadiah bermakna buat negara yang baru sahaja selesai menyambut Hari Kebangsaan ke-65.

"Saya berbesar hati untuk memaklumkan bahawa pasukan dodgeball lelaki negara memenangi Kejohanan Dunia di Edmonton Canada, semalam.

"Ini satu penghormatan besar buat Malaysia yang baru sahaja menyambut Hari Kemerdekaan ke-65 dan akan menyambut Hari Malaysia tidak lama lagi.

"Dalam kejohanan terakhir pada tahun 2019 kami menjadi naib juara. Jadi, sebagai Presiden MAD, saya berbangga dengan pencapaian pasukan negara ketika ini," katanya.

Tambah Radhakrishnan, pasukan negara akan menerima ganjaran khas sebagai tanda penghargaan buat mereka selain turut berterima kasih kepada semua pihak yang menjadi tulang belakang buat skuad negara.

"Ucapan terima kasih juga buat Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Institut Sukan Negara (ISN), Berjaya Corporation, Black Box dan semua penaja lain yang memberi sokongan kepada kami," katanya.

Sementara itu, pasukan campuran negara meraih pingat perak selepas tewas kepada pasukan tuan rumah, Kanada 3-7 dalam saingan akhir.

Untuk rekod, Malaysia pernah muncul juara bagi kategori lelaki dan wanita pada edisi 2017 di Toronto, Kanada dan skuad lelaki berjaya mengulangi kejayaan sama pada edisi 2018 di Los Angeles sebelum kedua-dua pasukan muncul naib juara pada edisi berikutnya di Cancun, Mexico pada 2019.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 September 2022 @ 2:14 PM