AZEEM mahu fokus program latihan dan kejohanan  diatur oleh Universiti Auburn.
AZEEM mahu fokus program latihan dan kejohanan diatur oleh Universiti Auburn.
Zulkarnain Azman


Kuala Lumpur: Hasrat Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) untuk membawa jaguh pecut negara Muhammad Azeem Fahmi beraksi di temasya Sukan Sea Kemboja yang berlangsung Mei ini tidak kesampaian.

Ia selepas bapa Azeem, Mohd Fahmi Tajuid memaklumkan pelari itu mahu menumpukan program latihan dan kejohanan yang sudah diatur oleh Universiti Auburn di Amerika Syarikat (AS).

Menurut Mohd Fahmi, Azeem sebenarnya terharu dengan usaha KOM yang mahu dia beraksi di Kemboja namun pada masa sama Azeem juga terikat dengan komitmen bersama universiti berkenaan dan jurulatihnya, Ken Harnden dan Leroy Burrell.

"Dalam tempoh Sukan Sea itu, Azeem akan melalui fasa pertama kejohanan luar dewan yang mana ia akan menjadi medan untuk dia melayakkan diri beraksi di NCAA (Persatuan Olahraga Kolej Kebangsaan AS).

"Malah, ia juga akan menjadi medan untuk dia melayakkan diri ke kejohanan atau temasya antarabangsa yang lain.

"Jadi, jika dia pulang waktu itu, sudah tentu ia menjejaskan perancangan jurulatihnya di sana. Lagipun, Azeem baru sebulan lebih di sana dan masih dalam proses menyesuaikan diri.

"Saya sudah menjelaskan kepada Datuk Mark yang menghubungi saya semalam mengenai perkara ini dan saya maklumkan kepada beliau mengenai pendirian kami dalam hal ini. Beliau bersetuju dengan pandangan saya dan saya anggap perkara ini selesai," katanya.

Sebelum ini, Arena Metro melaporkan, Presiden KOM, Datuk Seri Shahidan Kassim, berkata pihaknya sedang berusaha untuk 'menerbangkan' Azeem dari AS untuk bertanding di Sukan Sea Kemboja.

Beliau, berkata pelari berasal dari Perak itu berpotensi untuk memenangi emas 100m berdasarkan catatan terbaik dimilikinya 10.09 saat (s) yang juga rekod kebangsaan.

Malah, Mark Ling ketika ditemui pemberita selepas Mesyuarat Jawatankuasa Pemilihan Atlet Sukan Sea Kemboja memberitahu beliau sendiri akan terbang ke AS, bulan depan bagi mengadakan rundingan dengan Universiti Auburn bagi mendapatkan pelepasan buat atlet berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Februari 2023 @ 3:41 PM