NAZMIZAN pernah memenangi gelaran Raja Pecut di Sukan Sea Hanoi 2003. FOTO ARKIB NSTP
NAZMIZAN pernah memenangi gelaran Raja Pecut di Sukan Sea Hanoi 2003. FOTO ARKIB NSTP
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: "Hendak raih lima emas pun sakit, apatah lagi 10 emas," jelas bekas pelari pecut negara, Nazmizan Mohamad mengenai sasaran 10 emas diletakkan Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) di Sukan Sea Kemboja dari 5 hingga 17 Mei depan.

Menurutnya, sasaran pingat di temasya itu kebiasaannya berdasarkan prestasi semasa atlet di kejohanan mahupun latihan.

"Sasaran dibuat seharusnya berdasarkan prestasi semasa dan kedudukan terkini atlet negara di peringkat Asia Tenggara," katanya yang memenangi emas acara 100 dan 200 meter (m) di Sukan Sea Hanoi 2003.

Ujar Nazmizan, sasaran 10 emas itu terlalu tinggi dan KOM perlu melihat semula catatan atlet olahraga negara di peringkat Asia Tenggara,

"Adakah mereka berada di kedudukan nombor satu bagi acara yang kita letakkan sebagai sasaran emas itu?

"Tidak dinafikan, bila KOM letak sasaran 10 emas itu, ia mungkin bagus untuk beri motivasi kepada jurulatih dan atlet, tetapi pada masa sama, kita perlu melihat juga kekuatan kita.

"Memang ada tiga hingga empat bulan lagi dan kem latihan apa semua, tapi kita harus letak sasaran mengikut latihan serta keputusan semasa begitu juga dengan atlet negara lain," katanya.

Sebelum ini, Presiden KOM, Datuk Seri Shahidan Kassim menetapkan sasaran 10 emas ke atas skuad olahraga negara bagi memperbaiki pencapaian pada edisi terakhir di Hanoi, Mei tahun lalu, yang menyaksikan Malaysia meraih lima emas.

Nazmizan berkata, sasaran realistik untuk skuad olahraga negara di Kemboja adalah mengekalkan pencapaian tahun lalu iaitu lima emas dengan temasya kali ini dijadikan sebagai medan pendedahan kepada atlet muda untuk mencapai kemuncak prestasi di Sukan Sea 2027 ketika Malaysia sebagai tuan rumah.

"Kalau boleh dapat lebih daripada lima emas, ia dikira bonus untuk kem olahraga negara dalam persiapan menghadapi temasya 2025 (Bangkok, Thailand) dan kemuncak untuk 10 emas itu pada 2027 di Kuala Lumpur.

"Bagi saya, temasya di Kemboja ini sebagai permulaan untuk atlet muda negara menunjukkan potensi yang mereka miliki," katanya.

Di Sukan Sea Hanoi, tahun lalu, skuad olahraga negara berjaya menepati sasaran lima emas selain turut membawa pulang tiga perak dan lapan gangsa.

Di Kemboja kali ini, Nazmizan berpandangan hanya jaguh lempar cakera, Muhammad Irfan Shamsuddin, Andre Anura Anuar (lompat kijang) dan Jackie Wong (baling tukul besi) yang dilihat berada di landasan tepat untuk memenangi emas berdasarkan prestasi semasa dan kedudukan mereka di Asia Tenggara.

Ketiga-tiga atlet berkenaan adalah penyumbang emas Malaysia di Hanoi selain atlet baling tukul wanita, Grace Wong dan Nor Sarah Adi (lompat bergalah wanita).

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Mac 2023 @ 3:17 PM