SITI Safiyah (dua dari kiri) bersama rakan sepasukan pada majlis Anugerah Sukan Negara 2021 di MSN Bukit Jalil.  FOTO Asyraf Hamzah
SITI Safiyah (dua dari kiri) bersama rakan sepasukan pada majlis Anugerah Sukan Negara 2021 di MSN Bukit Jalil. FOTO Asyraf Hamzah
BERNAMA

Kuala Lumpur: Atlet boling wanita kebangsaan, Siti Safiyah Amirah Abdul Rahman mengimpikan mengakhiri saingan di kedudukan podium pada Kejohanan IBF (International Bowling Federation) World Combined Championships di Kuwait, Oktober ini.

Tanpa menyatakan warna pingat, Siti Safiyah berkata kejayaan meraih Pasukan Wanita Kebangsaan 2021 pada Anugerah Sukan Negara (ASN) 2021 bersama rakan sepasukannya semalam, menyuntik motivasi baginya mengharumkan negara dalam pertandingan di Kuwait yang dianggap terbesar baginya tahun ini.

Beliau berkongsi anugerah bersama tiga lagi pemain boling iaitu Natasha Mohamed Roslan, Faten Najihah Ahmad Faik dan Nur Syazwani Sahar pada ASN 2021 yang berlangsung di Majlis Sukan Negara, Bukit Jalil, di sini.

Selain aksi di Kuwait, pemain boling berusia 32 tahun itu juga memaklumkan bakal menyertai beberapa pertandingan antaranya Kejohanan Boling Terbuka Antarabangsa Malaysia pada 1-7 Mei nanti diikuti Terbuka Antarabangsa Singapura 2023 (3-10 Jun) dan Terbuka Antarabangsa Thailand (26-29 Julai).

Dalam pada itu, Siti Safiyah menyifatkan kejayaan merangkul perak bersama rakan sepasukan bagi acara berpasukan wanita pada Kejohanan Boling Dunia di Dubai, Emiriah Arab Bersatu pada 2021 adalah pencapaian terbesar memandangkan ia pertandingan pertama disertai mereka selepas hampir dua tahun gara-gara pandemik COVID-19.

"Kami amat bersyukur atas anugerah ini. Terima kasih kepada Kementerian Belia dan Sukan dan Majlis Sukan Negara kerana menganjurkan serta mencalonkan kami pada ASN 2021," katanya selepas majlis anugerah tersebut.

Walaupun mengakui agak terkesan dengan persaraan nama besar seperti Shalin Zulkifli pada 2021, Natasha pula optimis barisan muka baharu dalam skuad kebangsaan mampu mencapai tahap permainan seperti bekas jaguh boling kebangsaan tersebut.

"Harap dengan latihan serta pergi kejohanan sekali akan rapatkan hubungan dan boleh menang banyak macam mana senior-senior dahulu menang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Februari 2023 @ 5:53 PM