Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengakui jaguh berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang disenaraikan antara atlet sandaran untuk menghadiahkan pingat emas sulung di Sukan Olimpik Paris 2024.

Bagaimanapun beliau berkata, harapan yang diletakkan kepada Azizulhasni juga perlu menjadi pembakar semangat kepada atlet-atlet negara yang layak beraksi di temasya berprestij itu.

"Azizulhasni memang masuk dalam senarai tinggi (meraih emas) dalam Majlis Olimpik Malaysia (MOM) dan kita harap yang lain turut bersemangat untuk memburu pingat," katanya ketika ditemui media di Anugerah Sukan Negara (ASN) 2021 di Majlis Sukan Negara (MSN) sebentar tadi.

Azizulhasni yang juga dikenali sebagai The Pocket Rocketman mencipta sejarah menjadi atlet lelaki paling banyak meraih anugerah Olahragawan negara di ASN.

ANWAR berucap merasmikan Majlis Pecah Tanah Residensi Wilayah dan Residensi Prihatin MADANI serta Pusat Penjaja MADANI di Desa Tasik Sungai Besi, hari ini. FOTO Bernama
ANWAR berucap merasmikan Majlis Pecah Tanah Residensi Wilayah dan Residensi Prihatin MADANI serta Pusat Penjaja MADANI di Desa Tasik Sungai Besi, hari ini. FOTO Bernama

Beliau yang meraih pingat perak di Sukan Olimpik Tokyo 2020, berjaya menggondol gelaran olahragawan buat kali kelima, manakala olahragawati pula menjadi milik atlet terjun, Datuk Pandelela Rinong.

Sementara itu Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh Tahun mengakui 2020 dan 2021 adalah satu tempoh yang mencabar buat arena sukan negara namun biarpun begitu, barisan atlet negara tetap mempamerkan aksi yang positif biarpun dihambat pandemik Covid-19.

Beliau berkata, atlet negara sudah melakar pencapaian yang terbaik dan luarbiasa dalam beberapa temasya di rantau Asia serta kejohanan berprestasi di pentas dunia pada dua tahun berkenaan.

"Di dua temasya sukan utama - Sukan Olimpik dan Sukan Paralimpik Tokyo 2020 - Kontinjen Malaysia tidak menghampakan. Kilauan satu pingat perak dan satu pingat gangsa dibawa pulang daripada sukan berbasikal dan badminton daripada Sukan Olimpik Tokyo 2020.

"Manakala Sukan Paralimpik Tokyo menyaksikan barisan atlet negara menghadiahkan tiga pingat emas dan dua pingat perak - pencapaian terhebat dalam sejarah semenjak penyertaan kali pertama pada 1972 di Jerman.

"Kita juga telah menyaksikan pencapaian memberangsangkan oleh atlet negara dalam beberapa sukan termasuk badminton, skuasy, hoki, bola sepak dan tenpin boling," kata Hannah dalam ucapannya di Anugerah Sukan Negara (ASN) 2021 di MSN, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 31 January 2023 @ 6:04 PM