SETIAUSAHA Kehormat PSTPs, Syed Azmir Syed Ahmad.
SETIAUSAHA Kehormat PSTPs, Syed Azmir Syed Ahmad.
Zulkarnain Azman

Kuala Lumpur: Persatuan Sepaktakraw Perlis (PSTPs) menggesa supaya Persekutuan Sepaktakraw Malaysia (Mastaf) dibubarkan secepat mungkin berdasarkan perlembagaan badan induk itu.

Setiausaha Kehormat PSTPs, Syed Azmir Syed Ahmad berkata, tindakan itu perlu dibuat Mastaf bagi memberi laluan kepada Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) membabitkan diri di peringkat antarabangsa.

"Pembubaran Mastaf oleh Presidennya pada 20 Disember lalu adalah tidak sah dari sudut perlembagaan Mastaf yang diluluskan Pejabat Pesuruhjaya Sukan.

"Mastaf perlu dibubarkan secara sah bersandarkan perlembagaan Mastaf Fasal 45 (45.1, 45.2 dan 45.3) melalui mesyuarat agung yang khusus untuk tujuan pembubaran dengan keputusan 2/3 daripada ahli yang layak mengundi.

"Keputusan pembubaran Mastaf mestilah disampaikan kepada Pejabat Pesuruhjaya Sukan dalam tempoh 14 hari dari tarikh pembubaran itu," katanya.

Persekutuan Sepaktakraw Asia (Astaf) sebelum ini menggesa pengurusan Mastaf supaya mengambil sikap lebih bertanggungjawab untuk segera membubarkan badan induk itu secara sah berlandaskan perlembagaan Mastaf.

Sementara itu, Syed Azmir turut menyokong usaha diambil PSM untuk memohon semula menjadi ahli gabungan Astaf.

Menurutnya, ia memandangkan Mastaf tidak lagi mampu bertindak sebagai badan sukan yang memiliki kredibiliti untuk membangunkan sukan sepak takraw Malaysia dan peringkat antarabangsa.

"PSTPs berkeyakinan penuh hanya PSM mampu bertindak sebagai badan sukan sepak takraw tunggal membangunkan sukan itu di Malaysia dan di arena antarabangsa berdasarkan rekod cemerlang selama lebih 60 tahun.

"PSTPs yakin ASTAF akan menerima kembali PSM sebagai anggota kerabat Astaf setelah semua proses pembubaran Mastaf berjalan mengikut lunas perundangan sah di sisi perlembagaan MASTAF," katanya.

Dalam perkembangan lain, Syed Azmir memohon penelitian dan jasa baik Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh dengan sokongan Majlis Sukan Negara (MSN) agar sepak takraw dapat dikembalikan semula kepada status Sukan Teras.

Beliau berkata, tindakan itu bagi memastikan supaya sukan tradisi itu dapat terus dibangunkan secara lebih kompetitif dan proaktif pada masa depan.

"PSTPs menyeru kepada semua penggiat sepak takraw di Malaysia agar kembali bersatu di bawah payung PSM yang kini dipimpin Datuk Mohd Sumali Reduan.

"Kami penuh yakin kepimpinan beliau mampu untuk terus mempertingkatkan imej dan martabat sukan sepak takraw negara ke tahap yang lebih cemerlang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 January 2023 @ 7:31 PM