SUHAILI (dua dari kiri) selepas mengadakan sidang media tergempar sebentar tadi. FOTO Ferzalfie Fauzi
SUHAILI (dua dari kiri) selepas mengadakan sidang media tergempar sebentar tadi. FOTO Ferzalfie Fauzi
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Persekutuan Sepaktakraw Malaysia (Mastaf) membuat keputusan mengejut selepas mengadakan mesyuarat tergempar apabila membubarkan penubuhan mereka beberapa jam selepas Persatuan Sepaktakraw Perlis (PSTPs) menyertai Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM).

Menurut presidennya, Datuk Suhaili Abdul Rahman keputusan itu dibuat apabila mereka mengadakan perbincangan dalam kalangan empat badan induk negeri yang masih bernaung di bawah mereka iaitu membabitkan Selangor, Wilayah Persekutuan Labuan, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Putrajaya.

"Selepas berbincang kami bersetuju dan memutuskan Mastaf hendaklah dibubarkan. Pembubaran itu perlu diadakan serta-merta demi kebajikan pemain, pembangunan dan masa depan sukan sepak takraw negara," katanya dalam satu sidang media tergempar di salah sebuah restoran di sini.

Sebelum itu, PSTPs membuat keputusan keluar daripada Mastaf berkuatkuasa semalam dan hari ini Presiden PSM, Datuk Sumali Reduan dalam satu sidang media disertai Presiden PSTPs, Syed Azmir Syed Ahmad turut memaklumkan peletakan jawatannya sebaga penolong Setiausaha Agung Mastaf.

"Sebenarnya penubuhan Mastaf ini bukan atas dasar suka-suka, ia selepas PSM dilucutkan keahlian oleh Persekutuan Sepaktakraw Asia (Astaf) dan Persekutuan Sepaktakraw Antarabangsa (Istaf).

"Maka dengan itu tertubuhnya Mastaf. Selepas hampir tujuh bulan PSM tidak diiktiraf, kami sudah mengadakan beberapa siri perbincangan untuk memastikan Mastaf mengambil alih peranan menguruskan sukan sepak takraw negara ini. Sebahagian besar perundingan adalah inisiatif Pesuruhjaya Sukan (PJS).

"Kerana tidak mahu sukan sepak takraw terganggu baik di peringkat kebangsaan dan antarabangsa. Kami terus mengadakan perbincangan termasuk 8 Disember lalu, dan sepatutnya duduk semeja pada 23 Disember ini (Jumaat).

"Saya melihat PSM tidak serius dalam perbincangan mengenai sukan sepak takraw. Oleh itu kami dengan rasa rendah diri dan berbesar hati, demi kebajikan atlet serta pembangunan sepak takraw dengan rela hati membubarkan Mastaf.

"Kami (Mastaf) menyerahkan mana-mana entiti yang akan jadi ahli baru Istaf dan Astaf selepas ini. Kami terpaksa membuat keputusan seperti hari ini selepas Perlis antara negeri paling kuat dalam penubuhan Mastaf bertindak keluar dengan menyertai semula PSM," kata Suhaili.

Difahamkan esok PSM akan mengadakan sidang media dengan Astaf namun butiran mengenai perbincangan antara kedua-dua badan itu masih belum diketahui.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 Disember 2022 @ 10:01 PM