REAKSI Emma selepas menarik diri ketika menentang Viktoria.
REAKSI Emma selepas menarik diri ketika menentang Viktoria.
Agensi

Auckland: Emma Raducanu mengkritik permukaan gelanggang yang licin di Klasik ASB Auckland selepas dia terpaksa menarik diri daripada aksi pusingan kedua susulan masalah kecederaan buku lali.

Pemain Britain itu menangis ketika meninggalkan gelanggang selepas kakinya terseliuh pada set kedua ketika menentang pemain Slovakia, Viktoria Kuzmova dengan kedudukan 6-0 5-7.

Insiden itu berlaku hanya 11 hari sebelum bermula Terbuka Australia di Melbourne.

"Gelanggang agak licin, jadi secara jujurnya tidak mengejutkan jika ia boleh berlaku kepada sesiapa sahaja," kata Emma.

Pemain wanita nombor satu Britain itu yang mudah menang set pertama berkata kepada laman web New Zealand, Stuff: "Sudah tentu saya kecewa. Saya bekerja keras sejak beberapa bulan lalu dan saya berasa bagus dan yakin.

"Jadi terpaksa menarik diri akibat kecederaan tak sepatutnya, sangat mengecewakan."

Perlawanan kedua-dua pemain berlangsung di gelanggang tertutup susulan hujan berterusan di Auckland.

Dalam perlawanan lain, Coco Gauff menewaskan rakan senegara dari Amerika Syarikat yang juga bekas juara Terbuka Australia, Sofia Kenin 6-4, 6-4 untuk mara ke suku akhir Auckland dan akan menentang pemain China Zhu Lin yang menewaskan juara tujuh kali Grand Slam, Venus Williams 3-6, 6-2, 7-5.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 January 2023 @ 11:45 AM