EAIN Yow (kanan) menewaskan Makin di pusingan pertama Terbuka Malaysia, hari ini. FOTO ihsan PERSATUAN RAKET SKUASY MALAYSIA (SRAM)
EAIN Yow (kanan) menewaskan Makin di pusingan pertama Terbuka Malaysia, hari ini. FOTO ihsan PERSATUAN RAKET SKUASY MALAYSIA (SRAM)
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Pemain skuasy perseorangan lelaki nombor satu negara, Ng Eain Yow tidak berdepan masalah untuk melepasi pusingan pertama Terbuka Malaysia di Pusat Skuasy Nasional, Bukit Jalil, hari ini.

Eain Yow yang juga pemain nombor 20 dunia menempah pusingan kedua selepas menumbangkan Leandro Romiglio dari Argentina 11-7, 11-5, 11-8 dalam tempoh 40 minit.

Bagaimanapun, pemain kelahiran Kuala Lumpur itu dijangka berdepan tugas sukar apabila menentang pilihan kedua dari Wales, Joel Makin, esok.

"Saya rasa perlawanan hari ini sangat sengit, lagipun saya baru sahaja pulang dari menyertai Terbuka Singapura.

"Jadi ada naik dan turun selepas saya mengalahkan pemain nombor dua dunia (Paul Coll) minggu lalu.

"Bukan mudah untuk saya memberi fokus pada perlawanan hari ini terutama di set pertama apabila permainan agak mendatar. Selepas itu saya kurangkan melakukan kesilapan dan gembira akhirnya menang dengan tiga set," katanya.

Eain Yow mengharapkan tuah di laman sendiri supaya dapat mengulangi pencapaiannya bergelar juara ketika edisi 2019.

Dia mendapat suntikan semangat selepas berjaya menewaskan pemain Coll di pusingan kedua Terbuka Singapura minggu lalu.

Turut layak ialah pemain perseorangan wanita, Ainaa Amani Ampandi yang mengalahkan wakil Mesir, Zeina Mickawy 12-10, 6-11, 7-11, 11-7, 11-6.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 November 2022 @ 6:39 PM