KONTINJEN UPM meraikan kejayaan selepas muncul juara keseluruhan Kejohanan Varsity Track & Field ( VTF) 2023 sirkit ketiga di Stadium Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Kampus Sultan Azlan Shah, hari ini. FOTO ROSMAN SHAMSUDIN
KONTINJEN UPM meraikan kejayaan selepas muncul juara keseluruhan Kejohanan Varsity Track & Field ( VTF) 2023 sirkit ketiga di Stadium Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Kampus Sultan Azlan Shah, hari ini. FOTO ROSMAN SHAMSUDIN
Rosman Shamsudin


Tanjung Malim: Kontinjen Universiti Putra Malaysia (UPM) muncul juara keseluruhan pada Kejohanan Varsity Track & Field (VTF) 2023 sirkit ketiga berakhir hari ini di Stadium Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Kampus Sultan Azlan Shah yang berakhir hari ini.

Terdahulu, kontinjen UPM dinobatkan juara keseluruhan pada kejohanan VTF sirkit 1 di Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) dan turut juara VTF sirkit kedua yang berlangsung di Stadium Darul Makmur, Pahang pada penghujung Mei lalu.

Selepas tiga hari bersaing, kontinjen berkenaan mengumpul 24 pingat emas, tujuh perak dan tujuh gangsa meninggalkan tuan rumah, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di tempat kedua dengan empat pingat emas, 11 perak dan lima gangsa.

Di tanggan ketiga berpihak pada Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dengan tiga pingat emas.

Kejohanan VTF 2023 sirkit ketiga itu dianjurkan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dengan kerjasama Pusat Kecemerlangan Sukan Olahraga UPM disertai seramai 352 atlet yang terdiri 30 kontinjen dari Institusi Pendidikan Tinggi Awam (IPTA) dan Institusi Pendidikan Tinggi Swasta( IPTS).

Sebanyak 40 acara dipertandingkan dalam kejohanan VTF sirkit ketiga dan terdapat dua acara tidak dipertandingkan termasuk acara lompat bergalah bagi lelaki dan wanita serta dekathlon.

Sebanyak tujuh rekod kejohanan VTF 2023 dipecahkan selepas tiga hari kejohanan terbabit yang berlangsung di stadium berkenaan.

Rekod pertama dihasilkan menerusi acara 10,000 meter (meter) lelaki oleh atlet Infrastructure University Kuala Lumpur (IUKL) ,V Ghautham dengan catatan 34.43saat (s) mengatasi rekod kejohanan 34.49s yang juga rekod milik sendiri sebelum ini.

Manakala rekod kedua pula dihasilkan menerusi acara 5000m oleh atlet wanita Universiti Teknologi Malaysia (UTM), J Puspa Letchymy dengan catatan 20 minit 06.31s bagi mengatasi rekod kejohanan 20 minit 28.78s milik atlet dari Kolej Komuniti Masjid Tanah ( KKMAS), B Rammiyah.

Di samping itu, rekod ketiga pula hadir menerusi acara lompat oleh atlet olahraga kebangsaan,Andre Anura Anuar yang mewakili Universiti Putra Malaysia (UPM) dengan catatan rekod baharu 15.78m bagi mengatasi rekod kejohanan lalu milik sendiri 15.37m.

Rekod baharu bagi acara jalan kaki 10000m lelaki pula hadir pada hari terakhir kejohanan menerusi atlet UPM, Muhammad Fakhrulrazi Jailani dengan catatan 48 minit 59.25s yang juga rekod milik sendiri sebelum ini dengan catatan 52 minit 16.66s.

Rekod kelima pula dicipta menerusi acara 3000m lari berhalangan wanita juga dari atlet UTM, J Puspa Letchymy dengan catatan 12 minit 25.56s mengatasi rekod lama iaitu 13 minit 43.30s milik Ainur Shafiqah Azmi dari UPM.

Manakala, rekod baharu juga dicipta menerusi acara 3000m lari berhalangan lelaki oleh R Daren James Nair dari Newton International College (NIC) dengan catatan 9minit 45.06s sekali gus memadam rekod lama 9 minit 50.21s milik sendiri.

Akhir sekali, bagi acara heptatlon wanita, atlet UPM, Ng Yu Jie juga mecatat rekod baharu dengan berjaya mengumpul 3600 mata selepas mengatasi rekod lama 2332 mata.

Sementara itu, Pengurus pasukan olahraga UPM, Shahrul Nizar Nur Halim berkata, kejayaan kontinjen UPM menjuarai tiga sirkit VTF memberi motivasi kepada atlet mencipta kejayaan yang lebih cemerlang dalam Grand Final nanti.

Katanya, persiapan yang rapi dan komitmen yang ditunjukan atlet dalam latihan mahu pun ketika kejohanan menjadi resepi kejayaan kontinjen UPM .

"Saya bersyukur atas kejayaan berkenaan dan berharap dengan adanya kejayaan ini akan ada lagi kejayaan demi kejayaan pada masa akan datang terutama di Grand Final bagi melonjakkan sukan olahraga universiti malah negara.

"Atlet yang bertanding dalam kejohanan VTF termasuk Grand Final perlu memperbaiki dan tunjukkan prestasi sebenar kerana kejohanan ini juga akan dijadikan salah satu proses kelayakan atau saringan untuk wakili negara dalam Sukan Universiti Asia (AUG) di Indonesia pada tahun depan, " katanya ketika ditemui, dekat sini.

Shahrul Nizar berkata, usaha pihak KPT menganjurkan kejohanan VTF memang jelas memberi impak positif dalam sukan olahraga negara malah boleh dijadikan platform atlet untuk mewakili negara pada masa depan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 September 2023 @ 7:10 PM