Tengku Farok Hussin (kiri) merasmikan studio TSG di pejabat itu hari ini. FOTO Malik Muhamad
Tengku Farok Hussin (kiri) merasmikan studio TSG di pejabat itu hari ini. FOTO Malik Muhamad
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Walaupun terdapat industri sukan hampir gulung tikar berikutan wabak pandemik Covid-19, pasukan bertaraf Benua Asia, Terengganu Cycling Team (TSG) terus gah apabila berjaya mengumpul penajaan berjumlah RM9.3 juta bagi mengharungi saingan lebih mencabar musim 2022.

Malah pasukan berpangkalan di Terengganu itu juga dijangka bakal melebarkan sayap ke Turki selepas perbincangan dengan syarikat penerbangan negara itu menunjukkan tanda positif.

Pengarah Eksekutif TSG, Tengku Seri Bijaya Raja Datuk Tengku Farok Hussin Tengku Abdul Jalil menjelaskan, nilai keseluruhan penajaan itu termasuk wang tunai, barangan dan perkhidmatan membabitkan 19 penaja termasuk kerajaan negeri.

Katanya, walaupun banyak industri sukan terkesan berikutan wabak pandemik, pasukan nombor satu Asia dalam ranking Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) itu masih mampu menarik keyakinan penaja untuk bersama pasukan.

"Kita akui dengan wabak pandemik yang masih lagi melanda dunia, banyak industri sukan hampir gulung tikar kerana bergelut dengan pelbagai kesukaran untuk bertahan, namun TSG berjaya meraih kepercayaan 19 penaja termasuk lima penaja baharu yang sudah menyatakan persetujuan bersama TSG.

"Kepercayaan yang diberikan penaja itu sudah pasti mampu menyuntik semangat pelumba untuk terus meraih podium dalam kejohanan yang bakal disertai pada musim baharu nanti.

"Perkembangan itu juga dikukuhkan lagi mengenai peluang TSG untuk mengembangkan sayap ke Turki selepas perbincangan dengan syarikat penerbangan negara itu menunjukkan perkembangan yang positif kerana mereka tertarik dengan kejayaan pasukan terutama selepas meraih gelaran pasukan nombor satu Asia.

"Kerajaan Turki juga begitu berminat dengan TSG untuk menjadikan salah satu ikon pelancongan negara itu, ini satu kelebihan kepada kita, tapi kita masih dalam perbincangan lebih lanjut serta persefahaman," katanya ketika ditemui selepas merasmikan studio TSG di pejabat pasukan itu hari ini yang turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif TSG, Che Ku Izmuddin Che Ku Mahmood dan Ahli Lembaga Pengarah TSG, Zainal Ariffin Aziz.

Dalam perkembangan lain, beliau yang juga Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Terengganu berkata, TSG akan melakukan rombakan kecil ke atas tonggak import bagi mengharungi saingan lebih mencabar musim depan.

Bagaimanapun katanya, lapan pelumba tempatan yang diketuai pelumba adik-beradik, Zamri dan Harrif Saleh, Amirul Fakhrudin Mazuki, Afiq Huznie Othman, Nur Aiman Zariff, Shahrul Mat Amin, Irwandie Lakasek dan Abdul Rahman Hamdan masih kekal bersama pasukan yang berpangkalan di Terengganu itu.

"TSG masih mengekalkan 80 peratus barisan pelumba musim 2021 bagi membawa cabaran musim depan, setakat ini pihak pengurusan sudah menyenaraikan lapan pelumba tempatan dan enam pelumba import, namun masih ada dua kekosongan lagi seperti mana peraturan UCI.

"Kita berkeyakinan barisan pelumba berkenaan mampu mengibarkan bendera negeri dan negara di pentas antarabangsa selain masih berada pada landasan terbaik untuk mengekalkan posisi nombor satu Asia dalam Kesatuan Berbasikal Antarabangsa selain memperbaiki kedudukan ke-42 dunia yang dicapai musim ini daripada 212 pasukan dalam UCI.

"Namun senarai lengkap pelumba termasuk ketua jurulatih, Jeremy Hunt akan diumumkan secara rasmi pada awal Januari tahun depan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 November 2021 @ 3:01 PM