FURY ketika menewaskan Deontay Wilder pada 9 Oktober tahun lalu. FOTO AFP
FURY ketika menewaskan Deontay Wilder pada 9 Oktober tahun lalu. FOTO AFP
Agensi

London: Juara heavyweight WBC, Tyson Fury berkata, rakan senegaranya dari Britain, Anthony Joshua tidak mahu bertarung untuk merebut gelaran dunia akhir tahun ini.

Fury, 34, menawarkan Joshua bertarung dengannya walaupun petinju berusia 32 tahun itu gagal merampas semula tali pinggang WBA, WBO dan IBF selepas tewas kepada Oleksandr Usyk.

Pasukan Joshua berkata, mereka sudah 'menerima semua syarat' untuk tawaran pertarungan itu.

Tetapi Fury berkata: "Saya akan bertarung pada 3 Disember jika (Joshua) tidak menandatangani kontrak ini, yang saya tidak fikir dia akan melakukannya.

"Anda sudah lama memperoleh kontrak itu dan tidak mahu menandatanganinya. Saya fikir anda tidak mahu bertarung."

Menerusi catatan media sosial yang sama, Fury menggunakan kata-kata kasar terhadap Usyk, yang menuntut pertarungan dengan Fury selepas menewaskan Joshua buat kali kedua.

Promoter Fury, Frank Warren berkata perlawanan itu 'akan berlangsung' dan Usyk dalam temu bual yang disiarkan di laman YouTubenya pada Khamis lalu menegaskan dia mahu ia menjadi salah satu daripada tiga pertarungan terakhirnya sebelum bersara.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 September 2022 @ 11:41 AM