BINTANG tenis Sepanyol, Rafael Nadal tidak akan bersama pasukan Piala Davis. FOTO AFP
BINTANG tenis Sepanyol, Rafael Nadal tidak akan bersama pasukan Piala Davis. FOTO AFP
AFP

Paris: Jaguh tenis, Rafael Nadal tersisih daripada persaingan Piala Davis, bulan depan, apabila tidak disenaraikan dalam skuad Sepanyol, hari ini, manakala Novak Djokovic akan mengetuai Serbia.

Nadal, 36, memenangi gelaran Terbuka Australia dan Terbuka Perancis, awal tahun ini untuk mencipta rekod 22 gelaran perseorangan lelaki Grand Slam.

Tetapi, dia terpaksa menarik diri dari aksi Wimbledon berikutan kecederaan perut sebelum perlawanan separuh akhir dengan pemain Australia, Nick Kyrgios.

Nadal kembali beraksi di Cincinnati Masters sebagai persediaan menghadapi Terbuka Amerika Syarikat (AS), tetapi tidak bersama skuad Davis buat kali pertama sejak memenangi kejohanan buat kali kelima bersama Sepanyol pada 2019.

Sebaliknya, Sepanyol menamakan pemain remaja sensasi, Carlos Alcaraz sebagai sumber inspirasi.

Pasukan Sergi Bruguera itu akan menentang Serbia, Kanada dan Korea Selatan dalam aksi Kumpulan B yang akan diadakan di Valencia dari 13 hingga 18 September.

Kejohanan membabitkan 16 pasukan itu menandakan kepulangan semula Djokovic, sejak memenangi gelaran Wimbledon kali ketujuh dan gelaran Grand Slam ke-21, bulan lalu.

Pemain Serbia itu tidak beraksi di Montreal Masters, bulan lalu kerana keputusannya tidak mahu menerima vaksin Covid-19 dan menarik diri daripada kejohanan pemanas badan sebelum Terbuka AS iaitu Cincinnati, kerana alasan sama.

Bagaimanapun, dia masih menaruh harapan untuk beraksi di acara major terakhir itu di Flushing Meadows.

Alexander Zverev pula akan mengetuai pasukan Jerman pada ketika pemain nombor dunia itu bergelut untuk cergas menjelang Terbuka AS bermula 29 Ogos ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Ogos 2022 @ 10:15 AM