NADAL menarik diri daripada menyertai Masters Cincinnati. FOTO AFP
NADAL menarik diri daripada menyertai Masters Cincinnati. FOTO AFP
AFP

Washington: Rafael Nadal menarik diri dari menyertai Masters Cincinnati, sehari selepas dia mengumumkan menarik diri daripada menyertai kejohanan di Toronto sekali gus menimbulkan tahap kecergasannya menjelang Terbuka Amerika Syarikat (AS).

Bintang Sepanyol berusia 35 tahun itu mengalami kecederaan kaki kiri ejak tersingkir di separuh akhir Terbuka Perancis ketika kalah kepada Novak Djokovic Jun lalu.

Nadal, yang berkongsi rekod dengan Djokovic dan Roger Federer meraih 20 kejuaraan Grand Slam, berharap dapat kembali cergas untuk memburu kejuaraan Terbuka AS buat kali kelima tatkala Grand Slam terakhir itu akan berlangsung 30 Ogos ini.

Penarikan diri pemain nombor empat dunia itu bermakna tidak akan ada pemain Big Three berentap sebelum aksi selama dua minggu di New York.

Pemain nombor satu dunia, Djokovic bersedia untuk beraksi di Terbuka AS namun dia juga menarik diri daripada menyertai kejohanan di Cincinnati, selepas mengakui memerlukan masa untuk kembali cergas selepas beraksi di Olimpik Tokyo.

Djokovic, 34, boleh menjadi pemain pertama sejak Rod Laver pada 1969 memenangi kesemua empat kejuaraan utama dalam tempoh setahun.

Bagaimanapun, dia terlepas untuk meraih Golden Slam selepas tumpas kepada Alexander Zverev dalam perlawanan separuh akhir Olimpik.

"Saya mengambil masa sedikit lama untuk kembali cergas selepas perjalanan dari Australia ke Tokyo.

"Amat kecewa sekali, ini bermakna saya tidak akan bersedia untuk bertanding di Cincinnati tahun ini, jadi saya akan mengalihkan perhatian kepada Terbuka AS dan menghabiskan lebih banyak masa bersama keluarga," kata Djokovic.

Federer, yang berusia 40 tahun Ahad ini, menarik diri daripada menyertai kejohanan di Toronto dan Cincinnati, Khamis lalu kerana gusar mengenai tahap kecergasan menjelang Terbuka AS.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 Ogos 2021 @ 2:14 PM