NAOMI bersama peminat di San Jose.  FOTO AFP
NAOMI bersama peminat di San Jose. FOTO AFP
Agensi

San Jose, California: Juara empat kali Grand Slam, Naomi Osaka mahu tampil kembali lebih ceria dan tidak mahu terbabit kontroversi yang boleh menjejaskan persembahannya di Kejohanan Klasik Silicon Valley minggu ini.

Pemain Jepun berusia 24 tahun itu tidak beraksi sejak tewas pusingan pertama kepada Amanda Anisimova di Terbuka Perancis pada Mei lalu sehingga rankingnya merosot ke tangga 41 dunia.

Naomi yang terlepas Wimbledon susulan kecederaan betis berpisah dengan jurulatihnya, Wim Fissette bulan lalu selepas dua setengah tahun menjalinkan kerjasama.

Kecederaan itu antara beberapa siri kecederaan menghantui Naomi sejak 15 bulan lalu yang menyaksikan dia menarik diri daripada Terbuka Perancis 2021 dengan alasan tekanan mental selepas memboikot sidang akhbar perlawanan.

Dia turut menyepikan diri selepas tersingkir di pusingan ketiga Terbuka Amerika Syarikat tahun lalu tetapi kini tampil lebih tenang bersama bapanya, Leonard Francois yang menjadi jurulatih sekarang.

"Saya hanya mahu lebih gembira dan saya tahu saya kerap memperkatakannya terutamanya pada setiap kejohanan tahun lalu tetapi yang pastinya sekarang saya mahu lebih gembira," kata Naomi kepada wartawan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Ogos 2022 @ 11:10 AM