PEMAIN skuasy wanita, Aifa Azman (kanan) menjadi pembawa Jalur Gemilang kontinjen negara bersama jaguh powerlifting, Bonnie Bunyau Gustin pada Majlis Perasmian Sukan Komanwel Birmingham 2022 di Stadium Alexander. FOTO MOM
PEMAIN skuasy wanita, Aifa Azman (kanan) menjadi pembawa Jalur Gemilang kontinjen negara bersama jaguh powerlifting, Bonnie Bunyau Gustin pada Majlis Perasmian Sukan Komanwel Birmingham 2022 di Stadium Alexander. FOTO MOM
Daripada Amirullah Andi Nur

Birmingham: Pasukan skuasy negara berharap dapat membawa pulang satu pingat pada temasya Sukan Komanwel Birmingham 2022.

Tanpa menyatakan kilauan pingat disasarkan itu, pengurus pasukan negara, S Maniam menyandarkan harapan kepada dua jaguh, Aifa Azman dan Ivan Yuen untuk merealisasikannya.

"Kedua-dua pemain ini mempunyai prospek baik untuk menang pingat.

"Ketika ini mereka berada dalam keadaan terbaik untuk temasya kali ini," katanya di sini, hari ini.

Bagi Aifa, ini adalah penyertaan kedua pada temasya Sukan Komanwel selepas bertarung di Gold Coast 2018 di Australia apabila dia layak ke peringkat 16 terbaik bagi acara perseorangan wanita dan beregu campuran.

Aifa yang berusia 20 tahun sebelum ini dilaporkan berkata, dia kini sudah semakin matang berbanding di Gold Coast 2018 selain menyifatkan tahap permainannya pada ketika ini lebih baik daripada penyertaan sulungnya empat tahun lalu.

Namun pada penyertaan kali ini, dia dijadual menggalas tugas dalam acara beregu wanita bersama Rachel Arnold apabila gandingan asal, S Sivasangari terpaksa menarik diri selepas terbabit dalam kemalangan jalan raya selain turut menyertai acara perseorangan.

Bagi Ivan pula, ini adalah penyertaan keempat pada temasya sukan kedua terbesar dunia itu selepas New Delhi 2010, Glasgow (2014) dan Gold Coast (2018).

Pada 2010, dia berjaya sampai di pusingan kedua manakala 2014 terkandas di suku akhir bagi perseorangan lelaki dan 16 terbaik (beregu lelaki).

Pada 2018, dia berjaya sampai ke pusingan 16 terbaik bagi perseorangan lelaki dan beregu lelaki.

Selain Aifa dan Ivan, pasukan negara turut dianggotai Ng Eain Yow, Mohammad Syafiq Mohd Kamal, Muhammad Adden Idrakie Bahtiar, Rachel Mae Arnold, Noor Ainaa Ampandi dan Chan Yiwen.

Mereka dibimbing jurulatih Ajaz Azmat, Andrew Sam Cross dan Mohd Nafiizwan Mohd Adnan.

Saingan sukan skuasy dijadual bermula hari ini sehingga 8 Ogos dengan pertandingan berlangsung di Universiti Birmingham.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 Julai 2022 @ 2:21 PM