RONALDO Singh (kiri) dan David Beckham menjadi pelumba harapan skuad berbasikal trek India di Sukan Komanwel Birmingham 2022. FOTO Instagram Ronaldo Singh dan David Beckham
RONALDO Singh (kiri) dan David Beckham menjadi pelumba harapan skuad berbasikal trek India di Sukan Komanwel Birmingham 2022. FOTO Instagram Ronaldo Singh dan David Beckham
Agensi

London: Ronaldo dan David Beckham diharapkan mampu menyerlah di Sukan Komanwel Birmingham 2022, namun bukan dalam sukan bola sepak, tapi berbasikal trek.

Dua atlet itu berkongsi nama yang sama dengan bintang bola sepak terkemuka dunia dan diharapkan dapat menyumbangkan emas pertama kontinjen India dalam sukan berbasikal di Birmingham 2022.

Mereka adalah pelumba basikal India, Ronaldo Laitonjam Singh dan David Beckham.

Dilahirkan pada 22 Jun 2002, Ronaldo Singh berasal dari Manipur dan menariknya dia tidak diberi nama Cristiano Ronaldo atau Ronaldo de Lima, tapi dinamakan sempena Ronaldinho Gaucho.

Namanya diambil sempena legenda Brazil Ronaldinho ialah Ronaldo de Assis Moreira.

Pada 2002, bapa Ronaldo, Roben Singh sedang menonton perlawanan suku akhir Piala Dunia ketika Brazil menentang England di Kashmir, Srinagar.

Ronaldinho menjadi tumpuan dalam permainan itu kerana sepakan percuma menakjubkan dan ketika bola menerjah ke jaring, Roben mendapati isterinya akan bersalin di kampung halamannya.

"Sama seperti bola yang masuk ke gawang, saya pasti perlu membuat penampilan terbaik," kata Ronaldo Singh.

"Saya rasa ayah saya menang sedikit wang pada hari itu. Itu mungkin sebab saya mendapat nama itu. Dia rasa saya sangat bertuah untuknya."

Mula menceburi dalam sukan berbasikal pada usia 14 tahun, Ronaldo memenangi emas dalam acara pecut berpasukan lelaki di Kejohanan Lumba Basikal Remaja Dunia di Jerman pada 2019.

Ia adalah emas pertama buat India dalam sukan berbasikal sama ada di peringkat junior atau senior.

Sementara itu, David Beckham berasal dari Kepulauan Andaman dan Nicobar, menjadi terkenal selepas memenangi pelbagai pingat emas ketika beraksi kategori bawah 17 di Sukan Khelo India 2020.

Setahun lebih muda daripada Ronaldo, Beckham menyertai sukan berbasikal pada 2017.

Dia memenangi pingat emas antarabangsa pertamanya pada 2021 dan sebahagian daripada skuad pecut India bersama Ronaldo yang meraih gangsa di Kejohanan Berbasikal Trek Asia pada 2022.

Beckham berasal dari keluarga yang menyokong Manchester United dan dinamakan sempena nama bekas kapten England, David Beckham.

Malah, pelumba trek negara Muhammad Fadhil Mohd Zonis turut mengakui kedua-dua pelumba itu antara pelumba yang laju dan mampu memberikan cabaran dalam perebutan pingat.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 Julai 2022 @ 1:41 PM