RONALDO (depan) teruja dengan penghijrahan pemain bintang ke AS.
RONALDO (depan) teruja dengan penghijrahan pemain bintang ke AS.
Reuters

Toronto, Kanada: Dalam satu temubual bersama majalah GQ, penyerang Real Madrid Cristiano Ronaldo menyokong idea menyebut dia mungkin bermain di Major League Soccer satu hari nanti.

Pemain Terbaik Dunia sebanyak tiga kali itu memberitahu majalah berkenaan, dia tidak begitu mengikuti perkembangan MLS tetapi tidak menolak kemungkinan bermain di liga Amerika Syarikat itu selepas melihat peningkatan jumlah bakat berprofil tinggi yang berpindah ke negara itu sejak kebelakangan ini.

“Apa yang berlaku di sana amat memberangsangkan. Ia sungguh menggalakkan - mungkin pada masa depan, saya berpeluang untuk bermain di sana. Anda tidak tahu apa yang berlaku tapi ia sesuatu yang menarik,” kata kapten Portugal itu dalam majalah GQ yang akan diedarkan mulai 26 Januari ini.

“Sudah tentu saya akan memikirkannya kerana seperti yang saya katakan, bola sepak sudah bertambah baik dan justeru, mengapa tidak? Saya rasa ini bukan mustahil buat saya.”

Ketika David Beckham dianggap sebagai nama paling besar yang pernah bermain di MLS, bekas rakan sepasukannya di England Steven Gerrard dan Frank Lampard, bekas penyerang Sepanyol David Villa dan bintang Brazil Kaka tampil mengikut jejak langkah Beckham.

Kehadiran Ronaldo pasti melonjakkan lagi saingan MLS tetapi perpindahan sebelum kontraknya tamat di Real Madrid memerlukan yuran sangat besar dan tidak mampu dipenuhi kelab di AS.

“Saya tahu ramai pemain yang berpindah ke sana. Saya rasa ia sudah bertambah baik setiap tahun,” kata Ronaldo.

“Ia semakin meningkat. Saya rasa ia sesuatu yang positif. Ia bagus untuk saya dan pemain muda yang berkemungkinan bermain di sana satu hari nanti. Ia bagus untuk perkembangan bola sepak.”

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 January 2016 @ 6:58 AM