GERARD Monteiro (tengah) ketika meninjau persiapan skuad ping pong negara di MSN Bukit Jalil, hari ini. FOTO FERZALFIE FAUZI
GERARD Monteiro (tengah) ketika meninjau persiapan skuad ping pong negara di MSN Bukit Jalil, hari ini. FOTO FERZALFIE FAUZI
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Sasaran baru pingat emas Sukan Komanwel Birmingham 2022 akan dibincangkan Majlis Sukan Negara (MSN) dan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) sebelum diumumkan secara rasmi pada majlis penyerahan Jalur Gemilang kepada kontinjen negara, Selasa depan.

Menurut Timbalan Ketua Kontinjen (CDM) Sukan Komanwel Birmingham 2022, Gerard Monteiro, sasaran itu akan diserahkan kepada MSN dan MOM untuk dibincangkan.

"Baru-baru ini, skuad terjun negara beraksi dengan baik di Kejohanan Dunia dan pasangan beregu wanita badminton, Pearly Tan-M Thinaah pamer prestasi mantap di Masters Malaysia.

"Jadi mungkin ada harapan baru dari segi sasaran pingat (di Sukan Komanwel Birmingham)," katanya ketika meninjau persiapan skuad ping pong negara di Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil, hari ini.

Ujar Gerard, selepas mesyuarat esok barulah keputusan mengenai sasaran pingat ke temasya berkenaan akan diumumkan ketika penyerahan Jalur Gemilang, Selasa depan.

"Kami akan umumkan nanti (pada majlis penyerahan Jalur Gemilang). Esok hanya mesyuarat di antara MSN dan MOM sahaja," katanya kepada media.

Ahad lalu, Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu menyifatkan bukan satu tugas mudah untuk kontinjen negara mengekalkan sasaran tujuh pingat emas di Birmingham 2022 yang dijadual berlangsung mulai 28 Julai hingga 8 Ogos ini.

Beliau berkata, sasaran lima atau enam pingat emas dianggap lebih realistik selepas penarikan diri jaguh badminton negara, Lee Zii Jia serta kemalangan menimpa pemain skuasy, S Sivasangari.

Dalam pada itu, Gerard berkata, skuad ping pong negara meletakkan sasaran untuk mengulangi pencapaian empat tahun lalu di Gold Coast dengan membawa pulang satu gangsa.

"Gangsa itu diharapkan daripada beregu wanita, Ho Ying-Karen Lyne. Itulah harapan yang diletakkan.

"Mungkin boleh terjadi lebih daripada itu. Paling penting semua pemain mendapat pengalaman," katanya.

Selain Ho Ying dan Karen, pemain lain yang akan menggalas cabaran negara di Birmingham 2022 ialah Alice Chang, Tee Ai Xin (wanita), Leong Chee Feng, Choong Javen, Wong Qi Shen dan Lee Yong Yi (lelaki).

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 Julai 2022 @ 4:45 PM