MAJLIS Penyerahan Bendera Kontinjen UiTM ke Karnival Sukan MASUM 2024 Fasa 1. FOTO Ihsan UiTM
MAJLIS Penyerahan Bendera Kontinjen UiTM ke Karnival Sukan MASUM 2024 Fasa 1. FOTO Ihsan UiTM
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Universiti Teknologi MARA (UiTM) membuat persiapan rapi bagi mengekalkan kejuaraannya Karnival Sukan MASUM 2024 untuk fasa 1 dan fasa 2.

Timbalan Naib Canselor UiTM (HEP), Mohd Sazili Shahibi berkata, barisan atlet UiTM membuat persiapan yang sangat rapi.

Katanya, kontinjen UiTM sudah memulakan latihan sebelum bulan Ramadan dan ia diteruskan sehingga bulan Ramadan tanpa gagal.

"Para atlet menunjukkan semangat yang tinggi dengan menjalani latihan di sepanjang bulan Ramadan tanpa gagal.

"UiTM memang sedia maklum karnival sukan MASUM fasa 1 akan diadakan seawal bulan Syawal dan kekangan yang dihadapi oleh para atlet adalah mereka semua menjalani sesi pembelajaran secara atas talian pada bulan Ramadan di rumah.

"Oleh itu, UiTM mengambil inisiatif untuk menyediakan penginapan atlet di UiTM bagi memudahkan para atlet tinggal di UiTM dan menjalani latihan di sini sambil belajar secara atas talian di UiTM," katanya.

Dengan kekuatan seramai 96 orang atlet, UiTM akan bertanding di Karnival Sukan MASUM 2024 fasa 1 yang bertempat di Universiti Malaysia Sabah pada 22-28 April 2024.

Sebanyak tujuh sukan dan 70 pingat emas yang akan dipertandingkan pada fasa 1 iaitu silat, bola tampar pantai, taekwondo, petanque, memanah, pingpong dan catur.

Karnival fasa 2 pula akan diadakan di Universiti Malaya pada 6-12 Mei ini babitkan 10 jenis sukan akan dipertandingkan pada karnival itu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 April 2024 @ 8:38 PM