KBS sudah menjadualkan Mesyuarat Jawatankuasa Pelaksana LTdL 2022 pada Khamis ini. FOTO LUQMAN HAKIM ZUBIR
KBS sudah menjadualkan Mesyuarat Jawatankuasa Pelaksana LTdL 2022 pada Khamis ini. FOTO LUQMAN HAKIM ZUBIR
Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Kejohanan Le Tour de Langkawi 2022 (LTdL 2022) yang sepatutnya berlangsung dari 3 hingga 10 Mac akan ditunda kepada 18 hingga 26 Jun depan.

Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menerusi satu kenyataan memaklumkan pihak kementerian sudah menerima permohonan rasmi daripada syarikat penganjur, Human Voyage Sdn Bhd untuk menunda kejohanan itu berdasarkan kepada beberapa justifikasi yang diberikan.

"Pertama peningkatan kes Covid-19 yang mendadak dan membimbangkan melibatkan penularan varian Omicron di seluruh dunia.

"Kedua keperluan untuk menjalani kuarantin wajib terutamanya bagi individu dari negara yang disenaraikan berisiko varian Omicron oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

"Ketiga penstrukturan semula strategi pemasaran dan pengkomersialan termasuklah membabitkan hak siaran agar tidak bertindih dengan kejohanan di Eropah," katanya.

Justeru itu, bagi memastikan cadangan yang dikemukakan syarikat dibincangkan secara teliti dan komprehensif, KBS sudah menjadualkan Mesyuarat Jawatankuasa Pelaksana LTdL 2022 pada Khamis ini.

Mesyuarat berkenaan akan turut membabitkan Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) selaku badan induk kebangsaan serta pihak syarikat untuk bersama berbincang dan mencari titik persefahaman dengan mengambil kira kepentingan kejohanan dan penilaian risiko kesihatan awam.

"KBS ingin jelaskan yang penganjuran kejohanan LTdL 2022 adalah komitmen KBS selaras dengan hasrat menjadikan Malaysia sebagai destinasi acara sukan antarabangsa dan di masa yang sama memberi keutamaan kepada kepentingan kesihatan awam," katanya.

Presiden PKBM, Datuk Abu Samah Abd Wahab menerusi laporan Arena Metro hari ini percaya penganjuran kejohanan yang dijadual berlangsung 3 Mac depan tidak boleh dilangsungkan kerana terlalu suntuk.

Malah katanya PKBM mendaftar LTdL 2022 pada Jun 2021 atas inisiatif sendiri demi memastikan kejohanan itu kekal berada dalam kalendar tahunan Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI).

Hasrat badan induk itu untuk menemui Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu bagi mendapatkan penjelasan lanjut berhubung status perlumbaan itu juga masih tidak tercapai selepas tiada maklum balas daripada pejabat menteri.

Sehubungan itu, Mesyuarat Exco PKBM kelmarin memutuskan bahawa harus ada satu tindakan drastik diambil oleh KBS bagi memastikan status Pro Series tidak ditarik balik oleh UCI sekali gus menyebabkan kejohanan berkemungkinan terpaksa bermula daripada bawah semula.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 January 2022 @ 6:43 PM