KHAIRI meraikan kemenangannya bersama pasukan kejurulatihan. FOTO Eizairi Shamsudin
KHAIRI meraikan kemenangannya bersama pasukan kejurulatihan. FOTO Eizairi Shamsudin
Ferzalfie Fauzi dan Sukhairi Thani dan Fadhli Ishak

Hanoi: Pesilat sedang meningkat naik, Khairi Adib Azhar menjelmakan pingat emas buat kem silat negara di Sukan Sea Vietnam 2021 dalam satu perlawanan final yang penuh mendebarkan, hari ini.

Beraksi di Gimnasium Bac Tu Liem, pesilat berusia 20 tahun itu berjaya mengatasi 'musuh' utamanya dari Indonesia, Khoirudin Mustakim dalam kelas Putra B (50-55kg) dengan keputusan 50-49.

Perlawanan bertambah rancak dan penuh kontroversi dalam tempoh empat saat terakhir apabila Khairi ditendang di bahagian leher oleh lawannya itu sehingga terlantar seketika namun mampu bangkit meneruskan perlawanan.

Khoirudin ditolak 10 mata kerana melakukan kesalahan berkenaan dan ia secara tidak langsung terus mencerahkan peluang Khairi untuk mengatasi lawannya itu yang pada ketika itu mendahuluinya.

"Saya sudah mencuba sehabis baik. Saya lihat kutipan mata saya sudah jauh, saya serahkan kepada Allah dan tak kisah lagi apa yang akan terjadi. Namun tak dijangka, saya disepak di muka, saya memang pening ketika itu namun saya bangun dan boleh meneruskan perlawanan.

"Saya bersyukur kerana dapat mengambil (kutipan) mata dia. Pada baki terakhir itu, saya masih pening dan saya tak tahu bagaimana untuk menggambarkannya, sedih ataupun gembira," katanya yang pernah meraih gangsa di Sukan Sea Filipina 2019 itu.

"Saya ke sini memang menyasarkan emas. Tak mahu gangsa atau perak. Saya memang meletakkan sasaran emas untuk kali ini dan edisi seterusnya. Saya mahu kekalkan warna pingat ini.

"Saya berterima kasih kepada ibu, ayah, abang dan juga jurulatih yang membawa saya sehingga ke tahap ini dan juga kepada senior saya yang membentuk saya dari kosong sehingga ke tahap ini," katanya.

Ditanya sekiranya kemenangan ini adalah nasib disebabkan peraturan baharu yang digunakan, Khairi berkata: "Saya tak tahu nak kata apa. Namun nak katakan tak lawan, saya lawan juga.

"Jadi ini semuanya adalah takdir Allah. Allah sudah menentukan apa yang akan terjadi dan ini juga rezeki."

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 Mei 2022 @ 3:34 PM