EMMA tekad cipta kejutan di Stuttgart.
EMMA tekad cipta kejutan di Stuttgart.
AFP

Stuttgart, Jerman: Juara Terbuka Amerika Syarikat (AS), Emma Raducanu mahu memantapkan lagi pengalamannya di atas gelanggang tanah liat kejohanan WTA Stuttgart selepas membuat penampilan sulung profesional di permukaan itu hujung minggu lalu.

Pemain muda Britain itu berdepan Storm Sanders dari Australia dalam perlawanan pembukaan pusingan pertama di kejohanan tertutup di Stuttgart.

"Saya teruja menghabiskan lebih banyak masa bermain di gelanggang tanah liat ini. Saya beritahu orang di sekeliling bahawa suatu hari nanti gelanggang itu pasti akan ditawan oleh saya," kata Emma.

Emma memakai jersi Tottenham Hotspur miliknya dengan nombor 10 ketika sesi latihan semalam.

Dia berkata, walaupun bola sepak tidak begitu menarik minatnya, tetapi hampir semua orang dalam pasukannya adalah penyokong tegar Spurs.

Emma berdepan kesukaran bermain di gelanggang tanah liat di Prague buat pertama kali apabila mengalami kecederaan kaki ketika sesi latihan sebelum Britain tewas kepada Czech Republic dalam Piala Billie Jean King.

Dia kini memberikan tumpuan untuk menentang Storm dan juga Iga Swiatek dari Poland yang memegang gelaran pemain nombor satu dunia. Iga dilihat berpotensi menjadi lawannya pada suku akhir Jumaat ini.

"Lebih banyak pengalaman yang saya raih, lebih besar kemampuan saya untuk mengharungi pelbagai cabaran lain," kata pemenang wanita pertama Britain bagi gelaran Grand Slam dalam tempoh lebih 40 tahun.

Dalam perlawanan pembukaan di Stuttgart, Iga akan berdepan pemain kelayakan dari Jerman, Eva Lys yang ketika ini menduduki ranking ke-342 dunia. Eva yang berusia 20 tahun memenangi aksi maraton selama lebih tiga jam semalam ketika menewaskan Viktorija Golubic dari Switzerland 5-7, 7-5, 7-5 di pusingan pertama.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 April 2022 @ 10:56 AM