REAKSI Zverev selepas menewaskan Delbonis.
REAKSI Zverev selepas menewaskan Delbonis.
Reuters

Monte Carlo: Pemain nombor tiga dunia, Alexander Zverev menewaskan Federico Delbonis 6-1, 7-5 di Monte Carlo awal pagi tadi untuk mara ke peringkat 16 terakhir kejohanan Masters selepas pilihan utama Carlos Alcaraz dan Felix-Auger Aliassime tersingkir.

Zverev yang masuk ke gelanggang sebagai pemain ranking tertinggi yang masih bertahan di kejohanan itu, hilang empat mata pertama tetapi bangkit menang set pertama dalam tempoh hanya 20 minit.

Pemain berusia 24 tahun itu ditentang hebat Delbonis pada set kedua, namun bangkit daripada ketinggalan 2-4 sebelum menang 11 mata seterusnya.

"Pertukaran permukaan gelanggang selepas Miami memberi sedikit kesan kepada permainan saya tapi saya gembira dapat mara," kata Zverev yang tewas kepada pemain Norway, Casper Ruud pada suku akhir kejohanan sebelum ini.

Pencapaian terbaik pemain Jerman itu di kejohanan Principality pada 2018 apabila mara ke separuh akhir namun tersingkir di pusingan ketiga tahun lalu.

"Saya tahu perlu beraksi lebih baik," kata Zverev. "Ini satu-satunya Masters gelanggang tanah liat yang belum saya menangi. Saya sangat bermotivasi untuk itu dan berharap dapat melakukannya minggu ini."

Dalam perlawanan lain, pemain nombor 11 dunia, Alcaraz tewas 7-6(2), 6-7(5), 6-3 kepada pemain bukan pilihan dari Amerika Syarikat, Sebastian Korda manakala Auger-Aliassime tewas 6-2, 7-6(2) di tangan Lorenzo Mussett.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 April 2022 @ 9:02 AM