PENEMBAK Negeri Sembilan sedang giat menjalani latihan di Pusat Latihan Menembak di Mantin bagi persiapan Sukma 2022 di Kuala Lumpur. FOTO Ihsan PMNS
PENEMBAK Negeri Sembilan sedang giat menjalani latihan di Pusat Latihan Menembak di Mantin bagi persiapan Sukma 2022 di Kuala Lumpur. FOTO Ihsan PMNS
Mohd Amin Jalil


Seremban: Persatuan Menembak Negeri Sembilan (PMNS) bakal mempertaruhkan dua penembak kebangsaan, Alia Husna Budruddin dan Gan Chen Jie bagi mengetuai cabaran Negeri Sembilan pada temasya Sukan Malaysia (Sukma) 2022 di Kuala Lumpur.

Setiausaha Kehormat PMNS, Lt Komander (B) Mohd Emran Zakaria berkata, Negeri Sembilan akan menyertai semua 38 acara menembak yang dijadualkan disenaraikan pada temasya sukan berkenaan.

Katanya, kedua-dua atlet berkenaan diyakini mampu menyumbang pingat emas buat kontinjen Negeri Sembilan dan pihaknya sudah menetapkan sasaran untuk mengutip lima pingat emas pada temasya itu nanti.

"Kita sentiasa membuat persiapan rapi sejak pertengahan tahun lalu untuk memastikan pencapaian terbaik dapat dicapai atlet menembak Negeri Sembilan.

"Setakat ini terdapat 20 atlet menembak sedang menjalani latihan di Pusat Latihan Menembak di Mantin dan saya yakin kita mampu mengutip jumlah pingat emas yang kita tetapkan pada temasya itu nanti," katanya di sini, hari ini.

Dalam pada itu, pihaknya mengharapkan Majlis Sukan Negeri Sembilan (MSNS) dapat meluluskan secepat mungkin pembelian senjata baharu bagi menggantikan senjata yang sudah lama yang tidak lagi sesuai untuk latihan.

Mohd Emran berkata, penggunaan senjata yang baharu akan dapat membantu setiap atlet mempamerkan persembahan terbaik pada temasya itu nanti.

"Kita sudah memohon kepada MSNS untuk mendapatkan bekalan senjata rifle dan pistol yang baharu kerana senjata lama kerap mengalami kerosakan.

"Saya yakin dan percaya menerusi senjata baharu itu nanti, ia akan dapat meningkatkan lagi keyakinan atlet untuk memperagakan aksi cemerlang sekali gus merealisasikan sasaran kutipan pingat emas ditetapkan.

"Sebagai rekod, skuad menembak Negeri Sembilan meraih satu pingat emas dan tiga perak pada temasya Sukma di Perak 2018," katanya yang menyambut baik langkah kerajaan meneruskan penganjuran temasya sukan terbesar negara itu.

Baru-baru ini, Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu memaklumkan bahawa Jemaah Menteri bersetuju Sukma dilaksanakan di Kuala Lumpur tahun ini berikutan Johor memohon untuk penangguhan penganjuran sukan berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 Februari 2022 @ 6:26 PM