REAKSI Djokovic selepas menewaskan Musetti.
REAKSI Djokovic selepas menewaskan Musetti.
AFP

Dubai: Pemain nombor satu dunia, Novak Djokovic memulakan kempen 2022 dengan bergaya ketika menewaskan pemain muda Itali, Lorenzo Musetti 6-3, 6-3 di Kejohanan Dubai lewat malam tadi.

Pemain berusia 34 tahun itu tidak menunjukkan sebarang tekanan susulan isu visanya di Terbuka Australia dengan mempamerkan prestasi mantap untuk mara ke pusingan kedua selain mendapat sokongan padu penonton di Stadium Tenis Bebas Cukai Dubai.

"Saya tak jangkakan sambutan hebat daripada anda. Ia luar biasa sejak kali terakhir saya bermain dan venue ini pentas terbaik untuk saya memulakan musim," kata Djokovic.

"Terima kasih di atas sokongan dan sambutan anda," kata Djokovic sambil diiringi jeritan 'Nole, Nole' daripada tempat duduk penonton.

"Saya puas hati dengan kemenangan straight-set selepas tiga bulan tidak bermain."

Harapan bintang Serbia itu untuk menjuarai Terbuka Australia ke-10 dan Grand Slam ke-21 musnah selepas visanya dibatalkan dan dihantar pulang gara-gara tidak mengambil suntikan vaksin.

Djokovic boleh beraksi di Dubai susulan vaksin tidak diwajibkan untuk memasuki Emiriah Arab Bersatu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 Februari 2022 @ 11:48 AM