NOVAK Djokovic. FOTO Agensi
NOVAK Djokovic. FOTO Agensi
AFP

Melbourne: Australia membatalkan visa kemasukan Novak Djokovic hari ini sekali gus memberi tamparan hebat kepada pemain tenis nombor satu dunia itu.

Sensasi Serbia itu sudah tiba di Melbourne petang semalam selepas memberitahu di media sosial yang dia mendapat pelepasan perubatan untuk beraksi di kejohanan itu tanpa bukti sudah sepenuhnya mengambil vaksin Covid-19.

Pelepasan yang diberikan oleh penganjur Terbuka Australia selepas permohonannya dipertimbangkan dua panel perubatan itu mencetuskan kemarahan di kalangan rakyat Australia yang melalui sekatan pergerakan selama dua tahun akibat Covid-19.

Bagaimanapun juara sembilan kali Terbuka Australia itu akhirnya tidak dapat memasuki Australia.

"Djokovic gagal memberikan bukti yang diperlukan untuk memenuhi syarat kemasukan ke Australia dan visanya kemudiannya dibatalkan.

"Bukan warganegara yang tidak memegang visa masuk secara sah atau yang dibatalkan visa mereka, akan ditahan dan dikeluarkan dari Australia.

"Pasukan Sempadan Australia akan terus memastikan mereka yang tiba di sempadan kami mematuhi undang-undang dan syarat kemasukan kami," kata Pasukan Sempadan Australia dalam satu kenyataan.

Perdana Menteri Australia, Scott Morrison berkata dasar sempadan negara yang ketat amat penting untuk mengekalkan kadar kematian yang rendah.

"Peraturan tetap peraturan, terutamanya apabila ia berkaitan dengan sempadan negara kita. Tiada sesiapa yang boleh mengatasi peraturan ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 January 2022 @ 8:05 AM