NOVAK Djokovic. FOTO Reuters
NOVAK Djokovic. FOTO Reuters
AFP

Melbourne: Kontroversi Covid-19, ditahan di pusat kemudahan imigresen dan 'drama' di mahkamah bakal menjadi kenangan paling bermakna untuk Novak Djokovic jika dia berjaya memenangi gelaran Grand Slam ke-21 di Terbuka Australia.

Dengan Terbuka Australia bakal membuka tirainya Isnin ini, penyertaan pemain nombor satu dunia dan juara bertahan itu masih mencetuskan tanda tanya.

Kerajaan Australia masih memikirkan sama ada mahu membatalkan visa bintang Serbia itu - yang tidak mengambil vaksin - buat kali kedua sekali gus mengusirnya dari negara itu.

Pemain berusia 34 tahun itu terbang ke Melbourne dengan mendapat pengecualian kerana pernah positif Covid-19 pada pertengahan Disember tahun lalu.

Bagaimanapun dia tidak dibenarkan memasuki Australia, visanya dibatalkan dan dia dipindahkan ke pusat tahanan.

"Di sebalik semua yang berlaku, saya mahu kekal dan cuba beraksi," katanya di Twitter sambil menambah dia kekal fokus untuk memenangi gelaran Grand Slam ke-21.

Jika Djokovic yang diundi berdepan rakan senegara, Miomir Kecmanovic pada pusingan pertama dibenarkan beraksi dan menang Terbuka Australia, dia akan muncul pemain paling berjaya dalam sejarah memenangi 21 gelaran utama.

Bagaimanapun peluangnya untuk beraksi dilihat tipis dan dia dijangka hanya mampu menyaksikan saingan Terbuka Australia dari jauh.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 January 2022 @ 12:28 PM