MANTAN Menteri Belia dan Sukan, Reezal Merican. -FOTO NSTP
MANTAN Menteri Belia dan Sukan, Reezal Merican. -FOTO NSTP
Oleh Samadi Ahmad

Putrajaya: Bekas Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican merasa tersinggung membaca komen yang tidak sepatutnya diungkap terhadap pemain badminton perseorangan wanita negara, S Kisona.

Menurutnya, beliau merasa kecewa dan marah terhadap komen ditulis individu terbabit di media sosial kerana perjuangan atlet bukan kecil untuk berada di pentas dunia.

Reezal yang kini Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) berkata, mereka semua membawa nama Malaysia, menang atau kalah itu adalah lumrah pertandingan.

Katanya, sokongan kita jangan sesekali bermusim, hanya memuji apabila merangkul pingat dan terus mengeji apabila kecundang."

"Keluarga Malaysia tidak sepatutnya diberikan ruang untuk memberi komen yang sensitif dan diskriminasi lebih-lebih lagi dalam sukan yang menyatukan kita semua rakyat Malaysia."

"Sebelum ini semasa di KBS saya berpeluang untuk memperkenalkan inisiatif Sukan Selamat iaitu meneruskan sebahagian Visi Sukan Negara (VSN 2030) sebagai alat perpaduan yang ampuh dalam masyarakat bagi melahirkan jaguh-jaguh berkelas dunia."

"Semoga ia akan terus diadopsi dalam sukan arus perdana di semua peringkat negara ini, "katanya melalui hantaran yang dikongsi di Facebooknya.

Sebelum ini tular di media sosial, Naib Ketua Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Bahagian Pasir Puteh, Borhanudin Che Rahim dikecam seluruh rakyat Malaysia selepas membuat komen berbaur perkauman terhadap pemain badminton perseorangan wanita negara Kisona.

Borhanudin yang menggunakan nama Borhan Che Rahim memuat naik status di Facebook miliknya membuat komen terhadap Kisona selepas tewas saingan separuh akhir Piala Sudirman kepada Jepun pada Sabtu lalu.

Pada masa sama, Borhanudin turut memohon maaf secara rasmi kepada rakyat Malaysia dan meletak jawatan sebagai Naib Ketua BERSATU Bahagian Pasir Puteh.

Sebagai rekod, Kisona, 23 yang berasal dari Seremban bukanlah baharu dalam sukan badminton tanah air malah dia antara pemain senior di Persatuan Badminton Malaysia (BAM) yang juga pemenang pingat emas Sukan SEA 2019 selain beberapa kejuaraan antarabangsa yang disertainya sejak 2017.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Oktober 2021 @ 11:08 AM