Atlet olahraga para negara, Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi
Atlet olahraga para negara, Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi
BERNAMA

Tokyo: Perjuangan atlet olahraga, Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi dalam mempertahankan pingat emas dimenanginya di Rio 2016 bakal menjadi tumpuan pada hari ke-10 temasya Sukan Paralimpik Tokyo, esok.

Mohamad Ridzuan atau dikenali dengan panggilan mesranya 'Dek Wan', dijadual berdepan halangan pertamanya dalam kempen kedua di pentas Paralimpik, menerusi saringan kedua acara 100m T36 (kecacatan fizikal) kira-kira jam 8.33 malam (7.33 malam waktu Malaysia) di Stadium Olimpik.

Walaupun dianggap prospek pingat Malaysia pada temasya berprestij kali ini, pelari berusia 33 tahun yang mengalami celebral palsy itu tidak boleh memandang mudah cabaran atlet lain yang pastinya akan memberikan tentangan sengit untuk bergelar raja pecut bagi kategori itu.

James Turner dari Australia dan Yang Yifei dari China merupakan pencabar terdekat Mohamad Ridzuan, apabila kedua-dua pelumba itu pernah menewaskannya di kejohanan dunia di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada 2019.

Selain muncul juara, James turut memecahkan rekod dunia dengan catatan baharu 11.72 saat (s) dalam kejohanan di UAE itu manakala Yang Yifei di tempat kedua dengan 11.79s dan Mohamad Ridzuan ketiga, dengan 11.97s.

Mohamad Ridzuan dijangka berlari bersama Yang pada saringan kedua manakala James pula akan beraksi pada saringan pertama.

Peringkat akhir dijadual berlangsung pada Sabtu, kira-kira 10.38 pagi (9.38 pagi waktu Malaysia).

Mohamad Ridzuan mencipta sejarah apabila menyumbang pingat emas pertama negara dalam Sukan Paralimpik, menerusi acara 100m T36 lelaki di Rio 2016 dan mencatat masa 12.07s, sekali gus memadam rekod Paralimpik terdahulu milik Roman Pavlyk dari Ukraine iaitu 12.25s, di Beijing 2008.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 September 2021 @ 10:43 PM