AKSI Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi hari ini. FOTO Bernama
AKSI Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi hari ini. FOTO Bernama
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Atlet olahraga Paralimpik negara, Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi menepati ramalan dalam usaha mempertahankan pingat emas dimenanginya di Rio 2016 apabila berjaya menduduki tempat pertama dalam acara saringan 100m lelaki (T36) sebentar tadi.

Pada saingan yang berlangsung di Stadium Olimpik itu menyaksikan Mohamad Ridzuan atau lebih dikenali sebagai Dek Wan berjaya menduduki tempat pertama dengan catatan masa 12.06 saat.

Kejayaan itu sekali gus menyaksikan Mohamad Ridzuan hanya perlu mengharungi satu lagi halangan di pusingan akhir esok untuknya mempertahankan pingat emas yang dimenangi lima tahun lalu.

Aksi bertenaga yang dipamerkan Mohamad Ridzuan jelas sekali sukar digugat pesaing terdekatnya dari China Yang Yifei yang berada dikedudukan kedua dengan catatan masa 12.10 saat.

Yifei pernah menewaskannya di kejohanan dunia di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada 2019.

Selain itu, atlet Jawatankuasa Paralimpik Rusia (RPC), Shvetsov Evgenii pula di tempat ketiga dengan catatan masa 12.26 saat sekali gus layak melangkah ke akhir.

Mohamad Ridzuan mencipta sejarah apabila menyumbang pingat emas pertama negara dalam Sukan Paralimpik, menerusi acara 100m T36 lelaki di Rio 2016 dan mencatat masa 12.07 saat, sekali gus memadam rekod Paralimpik terdahulu milik Roman Pavlyk dari Ukraine iaitu 12.25s, di Beijing 2008.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 September 2021 @ 8:07 PM