Perenang paralimpik negara Muhammad Nur Syaiful Zulkafli beraksi dalam acara akhir 100 meter (m) gaya bebas lelaki S5 pada kejohanan Sukan Paralimpik Tokyo. FOTO Bernama
Perenang paralimpik negara Muhammad Nur Syaiful Zulkafli beraksi dalam acara akhir 100 meter (m) gaya bebas lelaki S5 pada kejohanan Sukan Paralimpik Tokyo. FOTO Bernama
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Perenang para negara, Muhammad Nur Syaiful Zulkafli mempamerkan peningkatan memberangsangkan apabila berjaya memperbaiki catatan terbaiknya di temasya Paralimpik Tokyo dalam acara 100 meter (m) S5.

Biarpun menamatkan acara di kedudukan ketujuh namun perenang dari Sarawak itu merekodkan satu minit 15.12 saat (s) sekali gus memperbaiki catatan peribadi terbaik 1:15.39s yang dilakukan di Kejohanan Dunia di London pada 2019.

Acara berkenaan dimenangi perenang dari Itali, Francesco Bacciardo dengan catatan 1:09.56s, Wang Lichao dari Cina, 1:10.45s perak dan gangsa milik Daniel de Faria Dias dari Brazil, 1:10.80s.

Bagi Syaiful kejayaan itu memberi suntikan moral untuk melakukan yang terbaik dalam acara kegemarannya selepas ini iaitu 50m pada 1 September nanti.

"Alhamdulillah, saya berjaya perbaiki catatan masa terbaik dan itulah sasaran saya. Walaupun hanya dapat perbaiki sedikit saja masa itu, tapi itu sudah cukup memuaskan hati saya.

"Sebab saya memang tidak fokus dalam acara 100m ini kerana memberi tumpuan untuk 50m, jadi dengan catatan masa ini saya harap dapat terus cemerlang untuk acara seterusnya," katanya yang akan turun beraksi dalam acara 100m kuak dada SB4, Ahad ini.

Mengulas mengenai keadaan bisulnya, Syaiful menjelaskan kesakitannya semakin berkurangan dan itu membolehkannya memberi renangan terbaik hari ini.

Ditanya mengenai peluang meraih pingat bagi baki dua lagi acara, Syaiful tetap optimis untuk cuba memberikan yang terbaik terutama dalam acara 50m kerana kepantasan akan memainkan peranan utama.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 Ogos 2021 @ 5:54 PM