Zuhairie, 31, bekas pemain pasukan bola sepak Piala Presiden T-Team. FOTO Ihsan Zuhairie Ahmad Tarmizi
Zuhairie, 31, bekas pemain pasukan bola sepak Piala Presiden T-Team. FOTO Ihsan Zuhairie Ahmad Tarmizi
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Kejayaan wira negara, Datuk Azizulhasni Awang merangkul pingat perak pada temasya Sukan Olimpik 2020 di Tokyo, Jepun pada 8 Ogos lalu dalam acara keirin membakar semangat pelumba basikal pecut Paralimpik negara, Zuhairie Ahmad Tarmizi.

Zuhairie, 31, tekad untuk melakar kejayaan bermakna pada penampilan pertamanya dalam temasya Sukan Paralimpik 2020 yang bakal membuka tirainya pada 24 Ogos hingga 5 September ini.

Pelumba kelahiran Kampung Rhu Muda, Marang yang bakal beraksi dalam tiga kategori berlepas ke Tokyo semalam dalam misi untuk menghadiahkan pingat buat negara tanpa mengira warna dalam sukan terbesar dunia itu.

Bekas pemain pasukan bola sepak Piala Presiden T-Team itu bakal turun ke gelanggang pada 26 Ogos ini dalam acara 1000 meter individu dan pecut berpasukan pada 28 Ogos di Velodrom Izu manakala pada 31 Ogos ketika negara menyambut Hari Kemerdekaan, atlet itu bakal bertarung dalam acara individu ujian masa di Fuji International Speedway.

"Sudah pasti kejayaan anak kelahiran Dungun, Datuk Azizulhasni yang merangkul pingat perak dalam temasya terbesar dunia itu menyuntik semangat saya untuk memburu podium lebih-lebih lagi penampilan sulung saya dalam temasya Sukan Olimpik itu.

"Namun saya sedar bukan tugas mudah buat saya untuk memburu sekurang-kurangnya tiga tempat terbaik kerana bakal dicabar tiga pelumba handalan dunia dari Great Britain, China dan Amerika Syarikat.

"Tapi saya tekad untuk memperbaiki kedudukan keempat yang diperoleh ketika Kejohanan Para Dunia di Kanada tahun lalu sekali gus mencipta sejarah peribadi dan negara, inilah impian saya selepas bergelar atlet basikal walaupun bermula sebagai pemain bola sepak," katanya.

Berdasarkan rekod, bekas pemain pertahanan skuad Piala Presiden T-Team itu pernah meraih dua pingat emas dan satu perak dalam acara trek serta satu emas pada temasya Sukan Para Asean 2017 di Kuala Lumpur.

Kejayaan atlet yang sebelum itu berhasrat untuk mewakili negara dalam sukan bola sepak tidak terhenti di situ apabila terus cemerlang pada pentas Sukan Asia di Indonesia 2018 apabila berjaya merangkul satu emas dalam acara lebuh raya dan masing-masing satu perak dan gangsa dalam acara trek.

Mengimbau kemalangan pada petang Ramadan ketujuh 7 Ogos 2011, Zuhairie yang baharu mendapat cahaya mata ketiga hasil perkongsian hidup dengan isterinya, Hanis Najihah Jusoh hancur lima jari tangan kanannya akibat digilis mesin tebu ketika membantu abangnya berniaga di Bazar Ramadan Marang.

Namun kemalangan itu tidak mematahkan semangatnya untuk berjaya dalam bidang sukan apabila menyertai kem skuad basikal para kebangsaan sejak enam tahun lalu sebelum terpilih mewakili negara dalam pentas Sukan Olimpik 2020.

"Nasihat saya terutamanya golongan Orang Kelainan Upaya (OKU), usah mudah putus asa dalam apa jua yang dilakukan, jika rajin berusaha kita mampu lakukan dan berdiri seiring dengan insan normal," katanya.

Selain Zuhairie, kontinjen basikal para negara turut digalas Mohamad Yusof Hafizi Shaharuddin, Muhammad Hafiz Jamali, Nur Azlia Syafinaz Mohd Zais dan Nurul Suhada Zainal.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 Ogos 2021 @ 2:35 PM