ZIYAD juara bertahan lontar peluru paralimpik.
ZIYAD juara bertahan lontar peluru paralimpik.
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Ketua jurulatih olahraga para negara, R Jaganathan mengakui tugas berat buat skuad olahraga negara mengulangi pencapaian tiga emas di Sukan Paralimpik Rio lima tahun lalu.

Namun beliau yakin kontinjen negara keseluruhannya mampu merangkul tiga emas seperti yang ditetapkan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) berikutan terdapat beberapa lagi prospek daripada sukan lain seperti badminton, memanah dan powerlifting.

Kata Jaganathan, setiap hari barisan jurulatih mengadakan mesyuarat bagi memastikan barisan atlet berada dalam keadaan terbaik sebelum terbang ke Tokyo berikutan sukar untuk mengetahui persaingan ketika ini tanpa pertandingan dianjurkan dalam tempoh dua tahun kerana Covid-19.

"Kebanyakan atlet yang menang di Rio kalah masa Kejohanan Dunia. Banyak atlet baharu muncul. Kita juga tiada pertandingan dua tahun ini dan kita pun tak tahu atlet baharu mana yang muncul.

''Jadi susah untuk kita tahu kedudukan kita sekarang. Jika dulu kita ada pertandingan dan kita tahu kedudukan kita di mana. Sekarang ini atlet masing-asing berlatih sendiri dan kita juga tak tahu atlet baharu itu macam mana latihan mereka," katanya.

Namun beliau yakin kemampuan barisan atlet olahraga negara yang terdiri daripada Muhammad Ziyad Zolkefli (lontar peluru - F20), Abdul Latif Romly (lompat jauh - T20) dan Mohd Ridzuan Puzi (100m - T36), Wong Kar Gee (lompat jauh - T13) dan Siti Noor Lasah Mohamad Ariffin (400m - T20).

Mengulas mengenai persiapan atlet ketika ini, Jaganathan berkata, semua atlet kini berada di fasa terakhir persiapan. Mereka dinasihatkan menjaga diri masing-masing untuk menghindari daripada sebarang kecederaan dan berada di tahap terbaik sebelum terbang ke Tokyo pada 21 Ogos ini.

Lima tahun lalu, skuad olahraga paralimpik negara beraksi cemerlang menghadiahkan tiga emas menerusi Latif, Ziyad dan Ridzuan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 Ogos 2021 @ 9:52 PM