JEGANATHAN (kiri) berpuas hati dengan pencapaian anak buahnya.
JEGANATHAN (kiri) berpuas hati dengan pencapaian anak buahnya.
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Atlet paralimpik negara Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi memberi amaran awal kepada pesaingnya menjelang Kejohanan Dunia, Julai ini apabila meraih emas acara 100 meter di Kejohanan Grand Prix Olahraga Dunia Terbuka Paris.

Biarpun diberi tentangan sengit apabila emas dikira mengikut perkiraan mata selepas menggabungkan kesemua kategori dalam acara sama, Ridzuan masih gah menguasai acara kegemarannya itu.

Ridzuan mengumpul 1,189 mata selepas menamatkan larian dengan catatan 12.15 saat, menewaskan atlet tuan rumah Timothee Adolphe (1,142) dan gangsa milik Charl Du Toit dari Afrika Selatan (1,139).

Ketua jurulatih paralimpik negara R Jeganathan berkata, beliau berpuas hati dengan pencapaian atlet negara yang membawa pulang satu emas menerusi Ridzuan, dua perak dihadiahkan Ziyad Zolkefli (lontar peluru) dan Mohamad Saifuddin Ishak (lompat jauh) selain Mohd Nasharuddin Mohamad gangsa (400m).

Katanya, beliau berpuas hati dengan prestasi atlet negara kerana kehadiran mereka di Paris bertujuan sebagai pendedahan menjelang Kejohanan Dunia.

“Penyertaan skuad negara di kejohanan ini untuk mengenal pasti kelemahan yang perlu diperbaiki sebelum Kejohanan Dunia bermula. Pendedahan itu bagus untuk mereka kerana kejohanan ini disertai 33 negara.

“Kehadiran mereka di Paris bukan bertujuan menunjuk kekuatan tapi menilai prestasi terkini.

“Namun apa dicapai sesuatu yang memuaskan
terutama emas kerana dikira mengikut perkiraan mata selepas penganjur menggabungkan beberapa kategori dalam satu acara,” katanya.

Jeganathan memberitahu kontinjen negara di Paris tidak disertai jaguh lompat jauh yang juga Olahragawan 2016 Abdul Latif Romly.

Latif dilaporkan mengalami kecederaan buku lali yang memaksanya menarik diri menyertai skuad negara di Paris kerana perlu menjalani rawatan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 Jun 2017 @ 9:11 AM