Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican. FOTO File NSTP
Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican. FOTO File NSTP
Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican mengambil maklum laporan mengenai 10 negara yang berkemungkinan tidak dibenarkan menyertai temasya Sukan Olimpik Tokyo termasuk Malaysia.

Jelasnya, ia juga berkait dengan senarai 159 buah negara yang dihalang daripada memasuki Jepun seperti dimaklumkan oleh Kementerian Luar Negeri Jepun.

"Siaran pemakluman itu turut menyentuh pengecualian yang boleh diberikan kepada beberapa kategori rakyat asing termasuklah atlet dan individu lain yang berkaitan dengan Sukan Olimpik dan Paralimpik Tokyo 2020.

"Sehubungan itu, saya mengarahkan Majlis Sukan Negara (MSN) supaya berhubung dan berbincang dengan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) serta semua pihak yang berkaitan untuk mendapat pengesahan dan maklumat terperinci berkenaan perkara ini.

"KBS (Kementerian Belia dan Sukan) juga sentiasa berhubung rapat dengan pihak Kementerian Luar Negeri dan Kedutaan Malaysia di Jepun bagi mendapatkan sebarang perkembangan lanjut," katanya dalam satu kenyataan.

Pada masa ini katanya, momentum persiapan atlet negara berada pada tahap yang baik termasuklah persediaan latihan fizikal dan mental ke temasya Olimpik Tokyo 2020 yang akan berlangsung kira-kira 46 hari sahaja lagi.

"Di samping persiapan terbaik untuk atlet, KBS akan sentiasa memastikan keselamatan dan kesihatan atlet, jurulatih serta pegawai yang terlibat sebagai keutamaan. Sebarang perkembangan terkini berkenaan perkara ini akan dimaklumkan dari semasa ke semasa," katanya.

Media hari ini melaporkan difahamkan kerajaan Jepun meminta jawatankuasa penganjur temasya itu mempertimbangkan untuk tidak membenarkan kemasukan 10 negara ke negara itu termasuk Malaysia berikutan peningkatan kes Covid-19 sejak kebelakangan ini.

Negara lain yang kemungkinan berada dalam senarai itu adalah India, Pakistan, Nepal, Bangladesh, Maldives, Sri Lanka, Afghanistan, Vietnam dan United Kingdom.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 Jun 2021 @ 8:05 PM