FRITZ akui tindakan penganjur tidak boleh diterima di kejohanan bertaraf Grand Slam. FOTO EPA
FRITZ akui tindakan penganjur tidak boleh diterima di kejohanan bertaraf Grand Slam. FOTO EPA
AFP

Melbourne: Pemain tenis Amerika Syarikat, Taylor Fritz mengecam tindakan mengeluarkan penonton pada pertengahan perlawanan ketika dia berdepan Novak Djokovic dan menganggap perkara itu tidak masuk akal terutama dalam kejohanan Grand Slam.

Insiden luar biasa itu berlaku ketika perlawanannya berdepan juara lapan kali itu ditangguhkan pada jam 11.30 malam untuk mengosongkan Arena Rod Laver sebelum enam juta penduduk Victoria diarahkan memulakan perintah berkurung selama lima hari akibat Covid-19.

Fritz ketika itu dalam usaha untuk menyamakan kedudukan bagi aksi lima set yang menyaksikan Djokovic mengalami kecederaan sebelum mereka diarahkan untuk meninggalkan gelanggang, manakala marsyal di stadium pula memastikan penonton keluar dari stadium.

"Secara jujurnya ia kelihatan tidak masuk akal di dalam perlawanan Grand Slam kami diarahkan meninggalkan gelanggang dalam tempoh 10 minit ketika di pertengahan aksi set keempat.

"Ia tidak sepatutnya berlaku di Grand Slam. Saya faham Victoria melaksanakan semula perintah berkurung dan mereka harus meninggalkan stadium. Lebih baik kami tidak dibenarkan beraksi langsung kalau kami tidak dapat menamatkan perlawanan pada waktu ditetapkan," katanya.

Kebanyakan penonton di dalam stadium memberi sokongan padu kepada Fritz dan ada kalanya mengejek Djokovic.

Fritz berkata tanpa penonton jelas sekali memberi kesan kepadanya, walaupun dia berjaya memenangi set berkenaan sebelum tumpas di set kelima.

"Saya rasa tidak ada penonton seakan memberi kesan kepada saya kerana mereka menyokong saya," katanya

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 Februari 2021 @ 3:06 PM