AKSI Reed hari ini. FOTO AFP
AKSI Reed hari ini. FOTO AFP
AFP

Los Angeles: Pendahulu bersama, Patrick Reed terbabit dalam kontroversi peraturan mengenai apa yang dianggap sebagai embedded ball (bola terbenam) pada pusingan ketiga Jelajah AS PGA Terbuka Farmers Insurance.

Juara Masters 2018 itu melakukan dua bawah par 70 sekali gus menyamai catatan Carlos Ortiz yang melakukan keseluruhan 10 bawah par 206 selepas 54 lubang di Torrey Pines.

Bagaimanapun paling mencuri tumpuan di pusingan ketiga adalah pukulan kedua Reed di par 4 lubang ke-10 yang mana pegawai pertandingan PGA menyifatkan ia adalah tindakan wajar dipihaknya.

"Kami melakukan apa yang memang sepatutnya dilakukan. Itulah yang kami rasa betul dilakukan dan diakui oleh pegawai pertandingan," kata Reed.

Reed yang menduduki ranking ke-11 dunia, melakukan pukulan yang mendarat di kawasan rumput yang dalam.

Sebaik Reed tiba di kawasan bola itu, dia melihat bola itu terbenam dan atas sebab itu, dia mengutip dan mengangkat bola itu sebelum menjatuhkannya semula ke atas rumput.

Dia kemudian memanggil pegawai pertandingan yang kemudian bersetuju bahawa ia adalah bola terbenam dan membenarkannya untuk menjatuhkan bola itu.

Netizen di media sosial mengkritik tindakan Reed itu dan meminta penalti dikenakan terhadap pemain Amerika berusia 30 tahun itu.

"Pada akhirnya ia adalah situasi yang tidak bernasib baik," kata Reed.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 31 January 2021 @ 12:54 PM