Kuala Lumpur: “FAM (Persatuan Bolasepak Malaysia) lain. MHC (Konfederasi Hoki Malaysia) lain.”

Demikian tegas Datuk Seri Subahan Kamal (gambar) yang menyifatkan peranannya selaku Presiden baru MHC berbeza meskipun pernah mempunyai pengalaman luas di FAM selaku naib presiden serta pengurus Harimau Malaya.

Subahan yang sah menerajui MHC untuk tempoh empat tahun akan datang berkata, perbezaan dua sukan itu tidak begitu penting, sebaliknya beliau hanya mahu memastikan MHC lebih berjaya berbanding sebelumnya.

“Semua dalam barisan kepimpinan baru ini mempunyai kehebatan dalam bidang masing-masing dan saya yakin mereka dapat berikan yang terbaik untuk pembangunan sukan hoki negara.

“Yang penting, saya tidak boleh lakukan semua ini secara bersendirian. Saya perlukan sokongan daripada semua pihak.

“Hoki adalah sukan berpasukan yang mempunyai masa depan cukup cerah kerana mampu membawa kita ke Sukan Olimpik dan Piala Dunia.

“Sebab itu kami semua berikan sokongan, terutama penaja serta media,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat pertama kepimpinan baru semalam.

 Subahan berkata, fokus utama memastikan skuad negara terus berada di landasan tepat meraih kejayaan lebih besar selain mencari jalan penyelesaian masalah kewangan MHC.

“Kedudukan pasukan kebangsaan penting. Apabila pasukan berjaya meraih keputusan baik, sudah pasti kita juga akan mendapat manfaat positif dari sudut lain termasuk penajaan

“Mengenai hutang MHC, itu adalah sesuatu yang perlu diberi perhatian selepas ini. Saya fikir kami mampu menyelesaikannya,” katanya.

 Pada sidang media sama, Subahan mengumumkan perlantikan bekas pemain negara K Logan Raj sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MHC, menggantikan jawatan Setiausaha Agung yang digalas Datuk Johari Abdul Aziz sebelum ini.

“Jawatan ini bertanggungjawab bersama-sama memenuhi misi dan visi serta Indeks Prestasi Utama (KPI) MHC,” katanya.

Subahan turut mengumumkan perlantikan S Selvendran selaku bendahari baru menggantikan Datuk N Radhakrishnan yang memenangi kerusi naib presiden.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 Mei 2015 @ 7:01 AM