FITRI (kiri) teruja untuk berlatih semula sebab tidak mahu terlepas kejohanan bersama pasukan kebangsaan. FOTO Ihsan Konfederasi Hoki Malaysia
FITRI (kiri) teruja untuk berlatih semula sebab tidak mahu terlepas kejohanan bersama pasukan kebangsaan. FOTO Ihsan Konfederasi Hoki Malaysia
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Pemain berpengalaman negara Mohammad Fitri Saari akan berusaha keras bagi memastikan namanya terus kekal relevan dalam skuad Malaysian Tigers.

Fitri antara watak utama dalam pasukan Terengganu Hockey Team (THT) tidak berhadapan masalah untuk bersaing dengan pemain muda untuk menjamin tempat di Trofi Juara-Juara Asia (ACT) di Chennai, India dan Sukan Asia 2023.

Katanya, dia akan menggunakan segala keupayaan dan pengalaman untuk membantu Malaysian Tigers meraih keputusan positif kelak.

"Saya tak nak sia-siakan peluang kedua ini. Saya teruja untuk berlatih semula sebab tidak mahu terlepas kejohanan bersama pasukan kebangsaan kerana impian saya nak ke Olimpik.

"Satu pengalaman yang bagus untuk saya yang sudah lama tidak beraksi di peringkat antarabangsa dan pasukan.

"Saya mampu menyesuaikan diri dengan taktikal pasukan.

Kalau diberikan peluang lagi, saya akan berikan yang terbaik dalam ACT dan Sukan Asia," katanya.

Mengikut rekod, Mohammad Fitri yang diketepikan daripada skuad kebangsaan sejak awal 2020 kembali menyertai latihan skuad Malaysian Tigers pada Mac lalu.

Pemain terbabit kembali disenaraikan dalam skuad kebangsaan berikutan prestasi cemerlangnya membantu pasukan Pantai Timur itu meraih gelaran treble Liga Hoki Malaysia (MHL).

Selain itu, dia juga antara pemain yang beraksi bersama skuad senior ketika Trofi Juara-Juara Asia di China pada September 2011 dengan merekodkan 160 penampilan untuk Malaysia di peringkat senior.

Namun, dia yang kali terakhir beraksi untuk pasukan kebangsaan ketika pusingan Kelayakan Olimpik Tokyo 2020 pada November 2019, tidak dipanggil dalam skuad negara selepas gagal membantu Malaysia layak ke temasya berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 Julai 2023 @ 3:20 PM