SUBAHAN (kanan) akui cabaran skuad negara di Piala Dunia bukan mudah. FOTO MHC
SUBAHAN (kanan) akui cabaran skuad negara di Piala Dunia bukan mudah. FOTO MHC
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (MHC), Datuk Seri Subahan Kamal tetap optimis akan kemampuan Malaysian Tigers untuk melakarkan kemenangan pada perlawanan terakhir Kumpulan C menentang New Zealand, esok.

Berdasarkan kedudukan ranking dan rekod pertemuan sepanjang 25 pertemuan antara kedua-dua pasukan sejak kali pertama bertemu pada 1975, jelas memihak kepada New Zealand yang mencatat 13 kemenangan manakala Malaysia pula hanya menang enam kali dan seri enam kali.

Namun Subahan tahu anak buah Arul Selvaraj tidak akan mensia-siakan peluang dan akan meneruskan perjuangan memburu kemenangan.

"Bukan mudah tapi apa saja boleh berlaku. Seperti yang saya cakap kepada jurulatih (Arul) dia tahu apa isunya dan cari jalan penyelesaiannya iaitu pukulan sudut penalti.

"Peluang kita 50-50 dan saya rasa pemain akan beri segalanya dan saya yakin Malaysia akan beri tentangan yang hebat," katanya.

Berdasarkan statistik dikeluarkan Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH), Malaysia hanya berjaya menjaringkan gol sekali daripada 13 pukulan sudut penalti menerusi Norsyafiq Sumantri ketika menumpaskan Chile.

Malaysia juga gagal menterjemah sebarang peluang ke dalam bentuk gol sewaktu diberikan tiga pukulan sudut penalti ketika tumpas 0-4 kepada juara tiga kali, Belanda, pada aksi pembukaan Kumpulan C, Sabtu lalu.

Bagaimanapun perlawanan selepas ini juga tidak mudah buat skuad negara sama ada tewas atau menang skuad bimbingan Arul itu tetap akan berdepan lawan yang lebih hebat.

Kata Subahan, jika Malaysia menamatkan saingan peringkat kumpulan di tempat kedua, skuad negara dijangka akan berdepan dengan Wales atau Sepanyol.

Begitu juga jika diakhiri dengan penamat di tempat ketiga, Malaysian Tigers akan berdepan sama ada India atau England.

Tegas Subahan, seperti yang pernah beliau katakan sebelum ini, perjuangan skuad negara di Piala Dunia kali ini bukan mudah namun ia adalah pendedahan yang baik untuk mereka sebagai persediaan untuk layak ke Olimpik nanti.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 January 2023 @ 2:47 PM