PEMAIN skuad hoki negara berbincang selepas kekalahan 2-3 di tangan China, malam tadi. FOTO FIH
PEMAIN skuad hoki negara berbincang selepas kekalahan 2-3 di tangan China, malam tadi. FOTO FIH
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Kesilapan sendiri menghukum barisan Speedy Tigers apabila tunduk 2-3 kepada China pada perlawanan pertama Kumpulan A kelayakan Sukan Olimpik Paris 2024 di Muscat, Oman, malam tadi.

Ia bukan satu keputusan diingini, malah tidak diduga oleh pengendali skuad hoki negara, A Arul Selvaraj.

Berikutan kekalahan itu, Malaysia tiada pilihan lain selain perlu bangkit untuk menang dalam dua perlawanan peringkat kumpulan menentang Great Britain (GB) dan Pakistan.

Namun, Arul yang menyedari perlawanan menentang GB sebagai rumit mengakui itulah penentu hala tuju skuad hoki negara dengan semua pemain perlu bangkit dan memperbetulkan kesilapan yang dilakukan.

"Kesilapan ketara menghukum kita apabila lawan dapat jaringan padang, satu penalti stroke dan gol pukulan sudut penalti di saat akhir.

"Sekarang ini pemain kena betulkan diri mereka sendiri. Mereka perlu keluar dengan bermain bermati-matian dan mentaliti positif yang tinggi," katanya.

Bagi perlawanan menentang GB pada 12.45 tengah malam esok, pemain perlu lebih berwaspada dan tidak bermain dengan corak terbuka berikutan barisan lawan mengamalkan corak permainan pantas.

Untuk rekod, GB ketika ini menghuni ranking keempat dunia berbanding skuad negara di ranking ke-13.

"Mereka bermain dengan pantas, jadi kita kena bijak uruskan fizikal dan ruang kosong supaya tak bagi banyak ruang kepada lawan," katanya.

Pada perlawanan malam tadi, China mendapat enam pukulan sudut penalti manakala Malaysia diberikan empat.

Malaysia terlebih dulu mendahului China untuk menamatkan saingan separuh masa pertama 1-0 menerusi jaringan padang Muhammad Azrai Aizad Abu Kamal pada minit ke-39.

Pada suku ketiga, kealpaan barisan pertahanan negara dihukum apabila China meledak dua gol dalam tempoh tiga minit.

China menyamakan kedudukan pada minit ke-31 menerusi penalti stroke yang disempurnakan Lin Changliang dan tiga minit berselang, Chao Jieming menjelmakan gol kedua China menerusi jaringan padang.

Malaysia menyamakan kedudukan ketika perlawanan memasuki suku keempat menerusi pukulan sudut penalti Muhammad Razie Abd Rahim minit ke-47 untuk Speedy Tiger mengikat kedudukan 2-2.

Namun pada minit ke-60, China meraih gol kemenangan menerusi Gao Jiesheng untuk menjadikan kedudukan 3-2, sekali gus melakar kemenangan kedua mereka ke atas Malaysia dalam 16 pertembungan sejak 2009.

Tiga pasukan terbaik pada kejohanan kali ini layak secara automatik ke Sukan Olimpik Paris 2024.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 January 2024 @ 9:39 AM