AKSI Piala Dunia antara Malaysia dan Belanda sebentar tadi. FOTO Ihsan FIH/World Sports Pic
AKSI Piala Dunia antara Malaysia dan Belanda sebentar tadi. FOTO Ihsan FIH/World Sports Pic
Jugjet Singh


Roukela, India: Walaupun tewas 0-4 pada aksi pertama, namun keputusan itu bukanlah gambaran sebenar aksi pertama skuad negara di Piala Dunia Hoki 2023 di Bhubaneswar dan Rourkela, India.

Ini kerana skuad Speedy Tigers membawa memberi tentangan sengit apabila berjaya memperoleh tiga pukulan sudut penalti namun gagal disempurnakan.

Hanya kesilapan yang dilakukan pemain muda telah menyebabkan pasukan negara gagal bermain dengan baik dan perlu dielakkan dalam perlawanan seterusnya menentang Chile Isnin.

Jurulatih negara, Arul Selvaraj mengakui pemain mudanya, Amirul Azahar melakukan kesilapan namun dia tidak akan menghukumnya dengan hukuman yang berat

"Amirul yang memberikan penalti memang mengubah permainan menentang Belanda, tetapi jangan terlalu keras terhadapnya kerana dia masih muda dan mempunyai banyak bakat.

"Dia sudah setahun bersama pasukan, jadi mari beri dia peluang untuk belajar daripada kesilapan ini," kata Arul.

Tambahnya lagi, Arul memberitahu beliau sudah mempunyai perancangan bertemu Chile pada Isnin ini selepas melihat perlawanan pasukan itu ketika menentang New Zealand.

"Kami sudah melihat mereka bermain menentang New Zealand dan mempunyai idea yang lebih baik tentang apa yang diharapkan pada hari Isnin.

"Saya akan merancang sewajarnya (untuk menang)," ujarnya.

Bagi kapten pasukan Marhan Jalil, dia memberitahu pasukan negara beraksi dengan baik menentang Belanda berbanding empat tahun lalu.

Bagaimanapun kesilapan mudah menyebabkan pasukan itu kehilangan empat gol.

"Kali ini saya rasa lebih mudah untuk Malaysia menentang Belanda kerana kami telah berlatih keras untuk hari ini tetapi akhirnya, pasukan teratas dunia menghukum kami atas kesilapan kecil yang kami lakukan," katanya.

Sebelum ini, pasukan Malaysia memulakan kempen Piala Dunia Hoki dengan langkah kiri apabila tumbang 4-0 di tangan Belanda.

Pemain Belanda, Thijs van Dam berjaya meraih gol pertama mereka, diikuti pukulan penalti selepas Amirul Azahar menolak pemain lawan untuk gol kedua menerusi Jip Janssen.

Malaysia cuba bangkit di suku ketiga untuk menguasai permainan namun gagal memanfaatkan peluang terhidang.

Dua lagi gol Belanda disempurnakan Teun Beins pada minit ke-48 dan Jorrit Croon pada minit ke-60.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 14 January 2023 @ 9:38 PM