Nasihin (dua kanan) memberi arahan kepada pemain. FOTO FB KHM.
Nasihin (dua kanan) memberi arahan kepada pemain. FOTO FB KHM.
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Prestasi skuad hoki wanita negara menunjukkan peningkatan di Kejohanan Piala Asia Wanita 2022 di Kompleks Sultan Qaboos, Muscat, Oman, selepas menewaskan Indonesia 6-0 dalam perlawanan klasifikasi tempat ke-5 hingga 8 namun dalam masa sama masih ada yang perlu diperbaiki bagi memantapkan skuad muda itu.

Pengarah Teknikal Pembangunan dan Skuad Projek Khas Kesatuan Hoki Malaysia (KHM), Paul Revington berkata, beliau berpuas hati dengan keputusan yang dicapai apabila Skuad Hoki Projek Khas Wanita Kebangsaan berjaya membelasah Indonesia.

Malaysia akan bertemu Thailand yang mencatatkan kemenangan 1-0 ke atas Singapura dalam satu lagi perlawanan klasifikasi dan aksi Malaysia dengan Thailand malam ini ibarat ulangan pertemuan edisi 2017 di Kakamigahara, Jepun.

Revington berkata, aksi Malaysian Tigress dilihat agak lemah memasuki suku keempat namun berjaya bermula dengan baik apabila meledakkan gol seawal minit ketiga.

Kejayaan menjaringkan gol hasil jaringan padang juga satu petanda yang positif buat skuad negara yang rata-ratanya dibarisi pemain muda yang kurang berpengalaman.

"Secara keseluruhannya, saya berpuas hati dengan keputusan ini namun sedikit kecewa dan banyak yang perlu diperbaiki terutama apabila berdepan perlawanan yang berintensiti tinggi.

"Selain itu saya lihat pemain perlu berusaha untuk mengawal mental dan emosi kerana ia akan mendorong mereka melakukan kesalahan," katanya.

Kemenangan 6-0 yang dicatatkan oleh skuad bimbingan Nasihin Nubli Ibrahim itu terhasil daripada tiga gol padang dan tiga gol pukulan sudut penalti dengan Nuraini Abdul Rashid menyumbangkan dua gol sementara Raja Norsharina Raja Shabuddin, Nuramirah Shakirah Zulkifli, Nor Asfarina Isahyifiqa Isahhidun dan Fatin Shafika Mahd Sukri masing-masing menjaringkan satu gol.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 January 2022 @ 6:49 PM