Pemain skuad Projek Khas Wanita negara menentang Indonesia pada saingan Piala Asia 2022. FOTO KHM
Pemain skuad Projek Khas Wanita negara menentang Indonesia pada saingan Piala Asia 2022. FOTO KHM
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Skuad hoki Projek Khas Wanita Kebangsaan beraksi cemerlang untuk menundukkan Indonesia 6-0 pada aksi klasifikasi lima hingga lapan saingan Piala Asia 2022 di Muscat, Oman.

Kejayaan itu menyaksikan skuad bimbingan Nasihin Nubli Ibrahim itu menghampiri sasaran untuk menamatkan saingan Piala Asia sebagai pasukan kelima terbaik kejohanan.

Dalam aksi Piala Asia di Kompleks Sultan Qaboss itu, Malaysian Tigress membariskan 10 muka baharu yang rata-rata berusia 22 tahun.

Malaysia membuka jaringan menerusi Raja Norsharina Raja Shabuddin seawal minit ketiga.

Skuad negara negara terus menjarakkan kedudukan apabila pakar flick, Nuraini Abdul Rashid tidak mensia-siakan peluang menyempurnakan sudut penalti pada minit kelima.

Bagaimanapun, skuad negara bergelut seketika untuk menambah jaringan apabila pasukan yang kini dibimbing bekas pengendali kebangsaan, Muhammad Dhaarma Raj Abdullah memperketatkan kawalan daripada dibolosi.

Usaha keras skuad negara akhirnya membuahkan hasil apabila meledakkan gol ketiga menerusi Nuramirah Syakirah Zulkifli pada minit ke-44 sebelum Nuraini memastikan jaringan keempat lima minit kemudian.

Skuad negara sekali lagi berjaya menambah jaringan menerusi jaringan padang Nor Asfarina Isahyifiqa Isahhidun pada minit ke-52 sebelum Fatin Shafika Mahd Sukir menjadikan kedudukan 6-0 buat skuad negara pada minit ke-55.

Kemenangan itu membolehkan Malaysian Tigress mara ke perlawanan penentuan tempat kelima dan keenam menentang satu lagi wakil dari rantau Asia Tenggara, Thailand malam esok.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 January 2022 @ 10:41 PM