HANNAH (berdiri empat dari kanan) bersama Abdul Rashid (berdiri empat dari kiri) pada Majlis Penyerahan Jalur Gemilang pasukan E-Sukan (Team MAS Tigers), hari ini.
HANNAH (berdiri empat dari kanan) bersama Abdul Rashid (berdiri empat dari kiri) pada Majlis Penyerahan Jalur Gemilang pasukan E-Sukan (Team MAS Tigers), hari ini.
Amirul Fazli Zulkafli


Kuala Lumpur: Majlis Sukan Negara (MSN) memberikan sumbangan geran bantuan RM100,000 kepada pasukan e-sukan Team MAS Tigers bagi menghadapi Kejohanan 'Honor of Kings International Championship' di China, bermula 29 November depan.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, bantuan itu sedikit sebanyak dapat membantu kos perbelanjaan mereka di kejohanan berkenaan.

Beliau berkata, kejohanan seperti ini amat bagus buat pasukan e-sukan negara untuk mendapatkan pengalaman lebih meluas apabila bertanding di peringkat antarabangsa bersama pasukan terbaik dari negara lain.

"Saya percaya kejohanan seperti ini akan membantu (pasukan e-sukan negara) menimba lebih banyak pengalaman untuk bertanding di luar negara.

"Saya percaya ini adalah hasrat pasukan ini selepas pulang dari Sukan Asia Hangzhou, kalau diberikan pendedahan yang cukup, pasti boleh atasi pasukan johan iaitu China," katanya selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Jalur Gemilang pasukan Team MAS Tigers, hari ini.

Hadir sama, Ketua Pengarah MSN, Abdul Rashid Yaakub.

Sementara itu, pengurus pasukan Team MAS Tiger, Wong Kang Won berkata, pertandingan ini adalah peluang terbaik untuk membalas dendam selepas kalah pada aksi final Arena of Valor (AOV) kepada China di Sukan Asia Hangzhou.

Beliau optimis pasukannya mampu melakukan yang terbaik biarpun tujuh pasukan profesional tuan rumah turut mengesahkan penyertaan.

"Pertandingan ini untuk 26 pasukan terbaik dunia. Jadi, tujuh pasukan profesional sudah mengesahkan bertanding dan kita pergi untuk top 8 (8 terbaik).

"Ini peluang unuk pemain mendapatkan pendedahan kerana pada perlawanan terakhir, pemain agak gopoh ketika menentang China," katanya yang menjelaskan Team MAS Tiger mendapat jemputan melalui tiket wild card.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 November 2023 @ 10:17 PM