KENCHI (tengah) bersama Mushi (kiri) dan Ohaiyo di majlis pelancaran. FOTO Hazril Md Nor
KENCHI (tengah) bersama Mushi (kiri) dan Ohaiyo di majlis pelancaran. FOTO Hazril Md Nor
Hazril Md Nor


PENGANJUR e-sukan di Asia Tenggara, Mineski Events Team (MET) dengan kolaborasi U Mobile dan Logitech G melancarkan kejohanan Liga E-Sukan Malaysia (MESL) di Kuala Lumpur, hari ini.

MESL dikatakan bakal menjadi liga e-sukan terbesar di Malaysia yang memfokuskan kepada permainan Dota 2 dengan hadiah wang tunai terkumpul RM500,000.

Liga itu akan bermula pada 2 September ini dan pusingan kelayakannya diadakan di serata Malaysia.

Sebanyak 16 pasukan terhebat akan bertanding di peringkat kelayakan selama enam bulan untuk menentukan 8 pasukan terbaik. Final pula akan berlangsung pada Februari tahun depan.

Pengarah Urusan MET, Kenchi Yap berkata, pendekatan ini dilaksanakan seiring dengan pertumbuhan e-sukan di negara ini.

"E-sukan bukan saja popular di peringkat global tetapi juga di Malaysia dan dengan adanya kejohanan seperti MESL, komuniti e-sukan negara dapat berkembang dengan lebih baik.

"Pendekatan ini juga diharap dapat melahirkan lebih ramai bakat muda dan ikon seperti Mushi, Ohaiyo dan Midone yang komited untuk mengembangkan karier profesional mereka hingga ke peringkat antarabangsa (The International)," katanya.

Penyertaan akan dibuka kepada semua pemain termasuk amatur dan profesional.

Maklumat lanjut boleh didapati di Facebook Mineski Events Team Malaysia dan www.mesl.com.my dalam masa terdekat.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 Ogos 2017 @ 7:37 PM