PERTEMBUNGAN antara Malaysia dan Vietnam semalam. FOTO Reuters
PERTEMBUNGAN antara Malaysia dan Vietnam semalam. FOTO Reuters
BERNAMA

Hangzhou: Penantian kilauan pingat pertama Malaysia di Sukan Asia Hangzhou 2022 diisi dengan pencapaian cemerlang pasukan Arena of Valor (AOV) negara yang sudah pun menggenggam sekurang-kurangnya pingat perak selepas mengesahkan tempat ke final malam ini.

Pasukan negara menghadiahkan khabar gembira yang ditunggu-tunggu itu dengan bergaya selepas menewaskan Vietnam 2-0 pada aksi separuh akhir di Pusat E-Sukan Hangzhou semalam.

Bagaimanapun, halangan setinggi gunung menanti pasukan negara dibarisi Lai Chia Chien, Nicholas Ng Khai Shuan, Ong Jun Yang, Eng Jun Hao, Yong Zhan Quan dan Chong Han Hui apabila dijadual bertemu China di venue yang dipenuhi penyokong tuan rumah.

Dengan e-sukan buat julung kali dipertandingkan sebagai acara berpingat, pasukan negara bakal mencipta sejarah sebagai pemenang pingat pertama Malaysia bagi e-sukan di pentas Sukan Asia.

PEMAIN hoki wanita negara  Wan Norfaiezah Md Saiuti meraikan jaringan gol ketika menentang  Hong Kong semalam. FOTO Bernama
PEMAIN hoki wanita negara Wan Norfaiezah Md Saiuti meraikan jaringan gol ketika menentang Hong Kong semalam. FOTO Bernama

Turut mencuri tumpuan semalam adalah atlet pelayaran Asnawi Iqbal Adam yang berpeluang sekurang-kurangnya membutirkan gangsa acara ILCA 4 apabila menduduki tempat ketiga keseluruhan, berbaki satu perlumbaan yang dijadual hari ini.

Pada saingan di Pusat Pelayaran Ningbo Xiangshan, lebih kurang 170 kilometer (km) dari sini, Asnawi Iqbal menamatkan perlumbaan kesembilan dan ke-10 masing-masing di posisi kedua yang memberi kelebihan kepada beliau untuk mengekalkan kedudukan podium.

Nur Shazrin Mohamad Latif pula berada di landasan tepat untuk merangkul pingat emas pertamanya di temasya Sukan Asia apabila terus mengungguli acara ILCA 6 wanita dengan perlumbaan penentuan pingat dijadual berlangsung pada Rabu.

Pasukan hoki wanita kebangsaan yang diberi julukan Malaysian Tigress turut tidak ketinggalan daripada menjadi perhatian selepas mengikut jejak langkah positif skuad lelaki apabila membenam Hong Kong 8-0 pada aksi pembukaan Kumpulan A di Stadium Taman Sukan Terusan Gongshu.

Skuad sepak takraw pula berjuang bermati-matian mempertahankan maruah negara selepas bermula langkah kanan apabila bangkit daripada ketinggalan untuk mengatasi Indonesia 2-1 pada aksi sulung Kumpulan B saingan regu berpasukan lelaki di Gimnasium JSC.

Selepas dua hari suram tanpa kilauan pingat, kontinjen negara dijangka memenangi lebih daripada dua pingat pada hari ketiga hari ini apabila jaguh wushu yang juga Juara Dunia 2019 Tan Cheong Min akan turun beraksi dalam acara nanquan+nandao wanita di Pusat Sukan Xiaoshan Guali.

Pelumba berbasikal trek juga berpeluang menggegar Hangzhou apabila trio Muhammad Fadhil Mohd Zonis, Muhammad Ridwan Sahrom dan Umar Hasbullah akan menggalas cabaran Malaysia dalam acara pecut berpasukan lelaki di Velodrom Pusat Sukan Chun'an Jieshou, kira-kira 170km dari sini.

Tanpa jaguh berbasikal trek Datuk Mohd Azizulhasni Awang, trio negara itu bukan sahaja menggalas tugas mencabar mempertahanan perak dimenangi Malaysia pada edisi lepas, malah berpeluang membuktikan sesuatu dalam usaha meneruskan kecemerlangan negara di pentas antarabangsa.

Dalam pada itu, skuad skuasy lelaki dan wanita kebangsaan bakal membuka tirai saingan hari ini di Pusat Pameran Antarabangsa Hangzhou dalam misi masing-masing mempertahankan emas dan gangsa yang dimenangi pada edisi 2018 di Jakarta-Palembang, Indonesia.

Kontinjen Malaysia akan meneruskan cabaran dalam acara renang, menembak, hoki lelaki dan e-sukan manakala ekuestrian juga akan membuka tirai saingan menerusi pemenang perak edisi lepas Mohd Qabil Ambak Mahamad Fathil dalam acara Dressage Prix St - Georges individu di Pusat Ekuestrian Tonglu.

Sementara itu, tuan rumah China terus gah di persada kedudukan pingat apabila mengumpul 39 emas, 21 perak dan 9 gangsa, meninggalkan Korea Selatan di posisi kedua (10-10-13) dan Jepun ketiga (5-14-12).

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 September 2023 @ 8:40 AM