AKSI De Bruyne mengambil sepakan  percuma yang menembusi gawang  Leicester City. FOTO Reuters
AKSI De Bruyne mengambil sepakan percuma yang menembusi gawang Leicester City. FOTO Reuters
Reuters

Leicester, England: Sepakan percuma menarik daripada Kevin De Bruyne membolehkan Manchester City menang 1-0 di Leicester City sebentar tadi sekali gus melonjakkan juara bertahan ke puncak Liga Perdana Inggeris (EPL).

Dengan penjaring terbanyak Erling Haaland tidak dapat dapat beraksi buat kali pertama sejak tiba di City akibat kecederaan, pelawat hilang sengat pada babak pertama dan serangan mereka mudah dipatahkan Leicester.

Namun pemain tengah Belgium, De Bruyne muncul wira dengan sepakan percuma kencang yang menerjah jaring empat minit selepas rehat bagi meletakkan City di depan.

Leicester bangkit dengan serangan lebih bertenaga dan hampir menyamakan kedudukan menerusi voli menarik Youri Tielemans tetapi penjaga gol City, Ederson tangkas menepis bola keluar.

Skuad tuan rumah terus menekan kubu City tetapi mereka cekal bertahan untuk kembali merampas tangga teratas dengan 29 mata, satu mata mengatasi Arsenal yang akan menentang Nottingham Forest esok manakala Leicester di tangga ke-17.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 Oktober 2022 @ 9:53 PM