KHIDMAT Wanggai (kanan) tak akan disambung.
KHIDMAT Wanggai (kanan) tak akan disambung.

Kuala Terengganu: Dalam usaha memberi lebih saingan dalam Liga Malaysia musim 2015, T-Team akan menggantikan semua pemain import sedia ada.

Ini bermakna kontrak penyerang import musim ini, Jimmy Mulisa dari Rwanda, Patrich Wanggai (Indonesia) serta pemain tengah Leandro Dos Santos (Brazil) tidak akan disambung.

Penolong jurulatih Mohd Azhari Salim berkata, pihaknya mencari pemain import baru sebelum pasukan memulakan latihan pertengahan bulan ini.

“T-Team juga mencari jurulatih baru dan tidak menolak kemungkinan dari luar negara,” katanya.

Namun pada masa sama pengurusan akan mengekalkan beberapa pemain musim ini termasuk kapten Marzuki Yusof.

Azhari berkata, pemain lain yang dijangka kekal adalah Mohd Faizal Muhamad, Mohd Hasbullah Awang, Nuraliff Zainal Abidin (pertahanan), Mohd Shahril Saa’ri (penjaga gol) dan Badrul Hisyam Morris (tengah).

“Mereka anak Terengganu yang masih dapat membantu T-Team musim depan,” katanya.

T-Team bakal bermain dalam saingan Liga Perdana musim depan.

Menurutnya, T-Team sudah menyenaraikan 22 nama pemain muda yang majoritinya anak tempatan bagi mengembalikan pasukan ke Liga Super musim 2016. - BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 November 2014 @ 5:05 AM